Tiger Woods mungkin kembali 'mengaum' di padang golf dalam masa setahun susuli nahas
Tiger Woods mungkin dapat kembali beraksi dalam kejohanan golf dalam tempoh setahun.

Gambar fail Tiger Woods beraksi di satu kejohanan golf di Amerika Syarikat.
AMERIKA SYARIKAT: Tiger Woods mungkin dapat kembali beraksi dalam kejohanan golf dalam tempoh setahun.
Demikian menurut para pakar ortopedik pada Rabu (24 Feb). Namun perjalanannya untuk pulih daripada kaki yang cedera parah akibat kemalangan kereta adalah satu perjalanan yang panjang dan menyakitkan.
Woods sebelum ini disanjung atas kejayaannya memenangani kejohanan Masters yang kelima selepas menjalani pembedahan tulang belakang pada 2019, sekali gus mengakhiri kemarau selama 11 tahun tanpa sebarang gelaran Grand Slam.
Beliau kini perlu lebih bersabar jika mahu mengatasi kecederaan yang dialami akibat kemalangan yang menimpanya pada Selasa lalu (23 Feb).
Jaguh golf berusia 45 tahun itu dikejarkan ke sebuah hospital di Los Angeles dan menjalani pembedahan kecemasan akibat kecederaan yang dialaminya semasa keretanya terbabas lalu terhumban ke lereng bukit yang curam.
Woods mengalami keretakan pada bahagian tibia dan fibula kaki kanannya dalam kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu, selain cedera pada kaki dan buku lali, menurut satu kenyataan yang dimuat naik ke laman Twitter bekas pemain golf nombor satu dunia itu.
Beliau turut mengalami trauma pada otot dan tisu lain kakinya.
Kecederaan itu mencetuskan kebimbangan sama ada Woods akan dapat kembali bertanding dalam kejohanan utama golf dan sama ada ia akan memburukkan lagi kecederaan sebelum ini pada bahagian lutut dan tulang belakangnya.
Namun para pakar ortopedik yang diwawancara oleh Reuters semua bersetuju bahawa berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, jaguh 15 kejohanan utama golf itu mungkin akan kembali beraksi dalam tempoh setahun.
Para pakar pula memberi amaran bahawa terdapat banyak keadaan tidak pasti yang perlu ditangani Woods sebelum dapat kembali beraksi.
Kebimbangan terhadap jangkitan adalah antara perkara utama dalam senarai, disusuli oleh kemungkinan berlaku kerosakan saraf serta artritis sekiranya kecederaan pada buku lali bertambah teruk.
Jika tiada sebarang komplikasi, Woods mungkin bersedia untuk menyertai kejohanan Masters tahun depan, kata Dr Riley Williams, pakar perubatan sukan di Hospital New York bagi Pembedahan Khas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.