Skip to main content

Sukan

Tiger Woods ditahan selepas terlibat nahas di Florida

Anggaran Waktu Membaca:
Tiger Woods ditahan selepas terlibat nahas di Florida

Pemain golf terkenal Tiger Woods berdiri di tepi kenderaannya yang terbalik di Jupiter Island, Florida, pada Jumaat, 27 Mac 2026. (Gambar: AP/Jason Oteri)

MIAMI: Bintang golf Tiger Woods ditangkap dan didakwa memandu di bawah pengaruh (DUI) selepas terlibat dalam kemalangan kereta di Florida pada Jumaat (27 Mac), kata pegawai penguatkuasaan undang-undang.

Woods bagaimanapun tidak cedera. Dia ditahan selepas kenderaan yang dipandunya melanggar sebuah trak dan terbalik semasa cuba memotongnya di kawasan berhampiran rumahnya di Jupiter Island.

Syerif Daerah Martin, John Budensiek berkata lelaki berusia 50 tahun itu - yang ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh (DUI) pada 2017 - menunjukkan tanda-tanda "kemerosotan keupayaan", namun kemudian lulus ujian pernafasan bagi alkohol.

Walau bagaimanapun, dia secara rasmi didakwa memandu di bawah pengaruh (DUI) selepas enggan mengambil ujian analisis air kencing, kata Encik Budensiek.

"Apabila tiba masanya untuk kami meminta ujian analisis air kencing, dia menolak, jadi dia didakwa dengan memandu di bawah pengaruh (DUI), dengan kerosakan harta benda dan keengganan untuk menjalani ujian yang sah dalam kemalangan itu," kata Encik Budensiek.

Syerif itu berkata pakar pengesanan dadah yang memeriksa Woods di tempat kejadian percaya Woods di bawah pengaruh "sejenis ubat atau dadah".

Walau bagaimanapun, di bawah undang-undang, Encik Budensiek berkata, Woods berhak menolak ujian air kencing.

"MUNGKIN LEBIH DAHSYAT"

Walaupun Woods mahupun seorang lagi pemandu tidak cedera, Encik Budensiek berkata kejadian itu "mungkin jauh lebih dahsyat".

Semasa ditanya untuk menganggarkan kelajuan pemanduan Woods beberapa ketika sebelum kemalangan itu, Encik Budensiek berkata: "Jawapannya ialah saya tidak boleh. Tetapi saya boleh memberitahu anda ini - Had kelajuan (di sini) 30 batu sejam."
Sumber : AP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita