Tiger Woods cedera parah dalam kemalangan di California
Bekas pemain golf nombor satu dunia Tiger Woods dimasukkan ke hospital di Los Angeles pada Selasa (23 Feb) dengan kecederaan kaki yang teruk setelah keretanya terbabas lalu terhumban ke lereng bukit yang curam.
LOS ANGELES: Bekas pemain golf nombor satu dunia Tiger Woods dimasukkan ke hospital di Los Angeles pada Selasa (23 Feb) dengan kecederaan kaki yang teruk setelah keretanya terbabas lalu terhumban ke lereng bukit yang curam.
Pasukan penyelamat terpaksa menarik keluar Woods daripada bangkai kereta tersebut untuk menyelamatkannya.
Kecederaan itu dipercayai tidak membahayakan nyawa Woods, menurut Syerif Los Angeles County Alex Villanueva kepada para wartawan di sidang media yang diadakan beberapa jam kemudian, sambil menambah bahawa Woods dalam keadaan sedar dan "dapat berkomunikasi" apabila pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.
Menurut syerif itu lagi, tidak ada bukti yang menunjukkan Woods mengalami sebarang gangguan semasa keadaannya dinilai oleh pasukan penyelamat di tempat kejadian dan tiada sampel darah diambil oleh para penyiasat setelah beliau dikejarkan ke Pusat Perubatan Harbour-UCLA dengan menaiki ambulans.
Ketua Bomba Los Angeles , Daryl Osby berkata, Woods cedera parah pada kedua-dua kakinya dan beliau pada mulanya beliau disenaraikan dalam keadaan serius tetapi stabil. CNN melaporkan Woods mengalami patah tulang pada kakinya.
Rakaman video dari tempat kejadian menunjukkan kereta SUV Genesis berwarna kelabu gelap yang dipandu Woods dalam keadaan remuk yang teruk berhampiran lereng bukit, dengan tingkap kereta tersebut pecah.
Woods, 45 tahun, juara Grand Slam sebanyak 15 kali dan salah seorang tokoh sukan paling terkenal di dunia, adalah satu-satunya orang dalam kereta tersebut pada sekitar 7.12 pagi (11.12 malam waktu Singapura) berhampiran kawasan pinggir bandar di Rolling Hills Estates dan Rancho Palos Verdes, menurut pejabat syerif.
Ejen Woods, Mark Steinberg, dalam kenyataannya kepada wartawan Golf Digest, Daniel Rapaport, berkata: "Tiger Woods bertemu kemalangan di California pagi ini di mana beliau mengalami beberapa kecederaan pada bahagian kaki. Beliau kini sedang dibedah dan kami memohon kerjasama anda untuk memberikannya privasi dan sokongan. "
Syerif Villanueva berkata kenderaan Woods merempuh sebatang pokok dan terbalik beberapa kali setelah terbabas dari jalan raya dan terhumban ke lereng bukit tersebut.
Pejabat syerif pada awalnya menyatakan perkakas yang dikenali sebagai "jaws of life" digunakan untuk mengeluarkan Woods dari bangkai kereta tersebut. Para pegawai bomba kemudian menjelaskan bahawa pasukan penyelamat menarik keluar Woods dari kenderaan malang itu melalui cermin depan kenderaannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.