Skip to main content

Sukan

'Tidak pernah terfikir berada di sini': kegembiraan luar biasa Shanti Pereira susuli kemenangan

Anggaran Waktu Membaca:
'Tidak pernah terfikir berada di sini': kegembiraan luar biasa Shanti Pereira susuli kemenangan

(Gambar: SNOC/Kong Chong Yew)

Diterbitkan : 02 Oct 2023 11:39PM
SINGAPURA: "Berikan saya masa lima minit," kata ratu pecut Singapura Shanti Pereira kepada para sukarelawan, dalam bahasa Mandarin.

"Ada banyak yang ingin saya katakan. Saya menang!", ujar beliau yang baru saja diisytiharkan sebagai pemenang pingat emas di Sukan Asia.

Beberapa minit sebelum itu, Pereira mencatat masa 23.03 saat sekali gus menjadi juara peringkat akhir acara 200 meter wanita di Sukan Asia.

Atlit China, Li Yuting meraih pingat perak dengan masa 23.28 saat dan Edidiong Ofonime Odiong dari Bahrain mencatat masa 23.48 saat menduduki tempat ketiga. Sementara itu, rakan senegara Odiong, Salwa Eid Naser, tidak layak meneruskan larian disebabkan kesalahan semasa permulaan.

Ini merupakan pingat emas pertama Singapura dalam acara atletik sejak tahun 1974, semasa Chee Swee Lee menang acara 400 meter wanita.

Semasa bercakap kepada para wartawan, Pereira cuba menahan air mata.

"Ini musim yang luar biasa. Sangat luar biasa," kata beliau. "Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya sekarang. Saya berasa teramat gembira."

Pada Sabtu (30 Okt), Pereira menamatkan penantian hampir 50 tahun Singapura bagi pingat sukan atletik dan acara balapan, setelah beliau meraih pingat perak dalam acara 100 meter wanita.

Pereira, yang masa terbaik beliau bagi acara 200 meter adalah 22.57 saat, kemudian mengungguli kesemua tiga pusingan kelayakan pada keesokan harinya dengan masa 23.14 saat.

Ini merupakan peringkat akhir pertama beliau dalam acara 200 meter Sukan Asia. Dalam edisi sebelum ini pada 2018, beliau gagal sampai ke pusingan separuh akhir.

"Saya terus menitiskan air mata (selepas perlumbaan ini) kerana ini sangat bermakna bagi diri saya, sangat-sangat bermakna. Saya tidak pernah menyangka saya akan berada di sini, tetapi di sini saya berdiri sekarang ini," kata beliau.
Related article image
(Gambar: SNOC/Kelly Wong)

HARUNGI CABARAN DEMI CABARAN

Di sebalik kejayannya, Pereira mengharungi cabaran demi cabaran untuk mencapai kedudukannya hari ini.

Pereira mula dikenali negara semasa Sukan SEA 2015 apabila beliau meraih pingat emas bagi acara 200 meter, dengan, mencatat masa terbaik peribadi serta rekod baharu negara. Kemenangan beliau juga mengakhiri kemarau pingat emas selama 42 tahun Singapura dalam acara pecut di Sukan SEA.

Sekalipun demikian, semua itu datang dengan harapan setinggi gunung terhadap Pereira.

Ditambah pula dengan kecederaan yang dialami, ramai segelintir yang berasa Pereira tidak akan dapat bertanding untuk beberapa tahun.

Ternyata, keadaan negatif itu memakan dirinya, tambah Pereira. Malah, pada satu masa beliau tidak lagi berasa ghairah untuk bertanding atau menjalani latihan. Sebaliknya, apa yang membelenggu dirinya adalah rasa takut.

Tapi, beliau tidak pernah berputus asa.

"Tidak kira apa kesukaran yang saya hadapi, saya teruskan sahaja, kerana saya tahu ini yang saya mahu lakukan, (sukan) ini yang saya cintai, untuk satu hari nanti saya dapat berada di kedudukan seperti ini (pingat emas di Sukan Asia)," kata beliau.

"Inilah kedudukannya, yang tidak pernah saya fikirkan...tetapi impikan dan saya berada di sini dan menikmatinya. Ini sesuatu yang menakjubkan."

Dengan sokongan daripada keluarga serta tunjuk ajar jurulatih beliau Luis Cunha, Pereira bangkit di Sukan SEA 2022, dengan meraih pingat emas 200 meter serta perak 100 meter.

Pada Mei tahun ini, Pereira menjadi wanita rakyat Singapura pertama yang memenangi kedua-dua acara 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA; kemudian disusuli pula dengan dua kemenangan di Kejohanan Atletik Asia pada Julai.

Pada Ogos, Pereira menjadi rakyat Singapura pertama untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia selepas prestasi yang hebat dalam acara 200 meter.

Beliau juga layak untuk ke Olimpik 2024 di Paris.

Sebelum perlumbaan beliau, Pereira berkata kepada dirinya sendiri bahawa beliau akan berlari sepenuh hati.

"Sebelum perlumbaan, saya berkata: 'Saya akan lakukannya sepenuh hati kerana ini perlumbaan terakhir saya pada musim ini. Lakukannya sehingga berjaya'," kata beliau.

"Dan apabila saya berjaya, saya katakan: 'Iya saya sudah melakukannya sehingga berjaya'."

Anda boleh menonton Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di enam saluran khas di mewatch.

Log masuk sekarang ke mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanann secara PERCUMA, atau tonton sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.

Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita