Tiada Itali dalam Piala Dunia FIFA 3 kali berturut-turut; Gattuso mohon maaf selepas tersungkur di tangan Bosnia
Jurulatih Itali Gennaro Gattuso kelihatan emosi dan memohon maaf selepas pasukannya kalah menerusi tendangan penalti dalam perlawanan penentu di Bosnia pada Selasa (31 Mac), sekali gus gagal melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA buat kali ketiga berturut-turut, namun beliau enggan mengulas mengenai masa depannya.
Jurulatih Itali Gennaro Gattuso pada 31 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Amel Emric)
Skuad Itali, juara empat kali yang kali terakhir menjuarai kejohanan itu pada 2006, mendahului pada awal perlawanan di Zenica, namun selepas beraksi dengan 10 pemain, Bosnia berhasil menyamakan kedudukan sebelum penentuan penalti menyaksikan pasukan Gattuso tersingkir.
Selepas kalah di peringkat 'playoff' bagi dua edisi Piala Dunia FIFA sebelum ini, ketiadaan Itali buat sekali lagi sukar diterima oleh semua pihak yang terlibat dalam bola sepak Itali.
"Hari ini para pemain tidak seharusnya menerima kekalahan seperti ini," kata Gattuso kepada RAI dengan nada sebak.
"Kami beraksi dengan 10 pemain, kami mempunyai tiga peluang yang baik dan mereka (Bosnia) hampir tidak mencabar kami. Saya mohon maaf, inilah bola sepak dan saya berbangga dengan pemain saya.
"Ia menyakitkan, kerana kami memerlukannya untuk diri kami, untuk seluruh Itali dan untuk perkembangan kami. Satu tamparan yang sukar untuk diterima."
Gattuso dan Itali berasa tidak puas hati apabila kekasaran oleh Tarik Muharemovic di tepi petak penalti hanya diberikan kad kuning pada awal masa tambahan, namun jurulatih itu tidak mahu mengulas mengenai keputusan pengadil.
"Saya tidak mahu bercakap tentang apa-apa, tetapi hari ini ia tidak adil," kata beliau.
"Saya sudah lama berkecimpung dalam dunia bola sepak, kadang-kadang saya bergembira dan hari ini saya menerima kekalahan. Ia sukar diterima, mereka juga mengejutkan saya dengan semangat yang ditunjukkan.
"Kita bercakap sekali lagi bahawa kita gagal ke Piala Dunia FIFA. Saya memohon maaf jika saya gagal, tetapi para pemain benar-benar mengagumkan saya hari ini."
‘MASA DEPAN SAYA TIDAK PENTING’
Gattuso, yang menggantikan Luciano Spalletti pada awal kempen kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 selepas mengalami kekalahan kepada Norway, ditanya mengenai masa depannya.
"Hari ini bercakap tentang masa depan saya tidak penting, yang penting adalah untuk melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA," kata beliau.
"Kami akan berpegang kepada prestasi ini, tetapi ia menyakitkan dan saya mohon maaf."
Ketua Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) Gabriele Gravina memberitahu para wartawan bahawa beliau telah meminta Gattuso untuk terus kekal bersama pasukan negara.
"Perasaannya sangat jelas, terutama sekali selepas keputusan ini," kata beliau.
"Izinkan saya untuk mengucapkan tahniah kepada para pemain, dalam beberapa bulan kebelakangan ini mereka telah menunjukkan perkembangan luar biasa, ramai antara anda mungkin tidak dapat menyaksikan suasana dan keadaan dalam tempoh tersebut.
"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Rino Gattuso. Beliau seorang jurulatih yang hebat, saya meminta beliau untuk terus memimpin pasukan ini. Tidak banyak yang boleh dikatakan, jurulatih menyifatkan mereka sebagai wira. Namun, saya faham terdapat beberapa penilaian yang perlu dibuat."
Gravina sendiri berdepan tekanan hebat sebagai ketua bola sepak Itali menyusuli kegagalan yang berulang buat beberapa kali.
"Dari aspek pentadbiran, terdapat saluran untuk membuat penilaian iaitu Majlis Persekutuan," kata beliau.
"Saya telah memutuskan untuk memanggil mereka untuk mengadakan mesyuarat minggu depan, dan penilaian akan dibuat secara dalaman.
"Saya memahami gesaan untuk saya meletak jawatan berdasarkan situasi ini, namun terdapat saluran yang sesuai untuk membuat penilaian tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.