Skip to main content

Sukan

Thailand sasar anjur perlumbaan F1 pada 2028: PM Paetongtarn

Anggaran Waktu Membaca:
 Thailand sasar anjur perlumbaan F1 pada 2028: PM Paetongtarn

Perlumbaan pada 16 Mac, 2025. (Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 20 Mar 2025 11:14AM Dikemas Kini : 20 Mar 2025 11:29AM
BANGKOK: Thailand menetapkan matlamat untuk menganjurkan lumba kereta Formula One (F1) mulai tahun 2028.

Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra berkata perlumbaan itu akan menggunakan litar jalan raya di ibu kota Bangkok.

Beliau telah membincangkan rancangan itu dengan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali di Bangkok pada Selasa (18 Mac).

Thailand kini turut merupakan tuan rumah bagi perlumbaan MotoGP, di Buriram, timur laut negara itu, satu lagi kejohanan permotoran sejagat yang popular.

"Kami berpeluang membincangkan peluang Thailand untuk menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1, yang merupakan sukan hebat dengan pengikut di seluruh dunia," kata Perdana Menteri Thailand itu menerusi X selepas pertemuan dengan Domenicali di Bangunan Kerajaan.

"Kerajaan mengesahkan bahawa ia akan meneliti pelaburan bersama ini, termasuk kajian mengenai laluan perlumbaan, belanjawan pelaburan, dan faedah ekonomi kepada Thailand daripada penganjuran perlumbaan tersebut."

Cik Paetongtarn berkata beliau berpendapat menjadi tuan rumah perlumbaan akan menjadi peluang untuk menaik taraf infrastruktur Bangkok dan menarik lebih ramai pelancong dari luar negara, terutamanya pengunjung dalam pasaran "mewah".

"Saya percaya bahawa semua rakyat Thailand akan mendapat manfaat daripada penganjuran acara ini, sama ada ia adalah dari segi pelaburan infrastruktur berskala besar, penciptaan pekerjaan, penjanaan pendapatan baharu, dan teknologi serta inovasi baharu," tambahnya.

"Saya yakin bahawa projek ini akan berjaya. Ia adalah satu lagi peluang penting bagi negara untuk menganjurkan acara bertaraf dunia."

F1 sudah mempunyai jadual yang padat dengan 24 perlumbaan di seluruh dunia termasuk empat di rantau Asia-Pasifik, termasuk Grand Prix Singapura di Asia Tenggara.

Kira-kira satu pertiga daripada 24 perlumbaan F1 yang dijadualkan untuk musim 2025 akan berlangsung di litar jalanan atau litar hibrid, berbanding hanya sekitar 15 peratus sedekad lalu.
Sumber : Agensi berita/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita