Skip to main content

Sukan

Team Singapore diberi dos tambahan vaksin susuli 'lebih banyak' insiden polio di Filipina

Kontinjen Team Singapore akan diberikan dos tambahan vaksin (booster shots) untuk meningkatkan daya kekebalan tubuh mereka daripada penyakit, sebelum berangkat ke Sukan SEA ke-30 di Filipina. Demikian menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) hari ini (23 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Team Singapore diberi dos tambahan vaksin susuli 'lebih banyak' insiden polio di Filipina

Team Singapore akan menghantar kontinjen terbesarnya ke Sukan SEA tahun ini. (Gambar: SNOC)

Diterbitkan : 23 Nov 2019 09:04PM Dikemas Kini : 23 Nov 2019 09:08PM

SINGAPURA: Kontinjen Team Singapore akan diberikan dos tambahan vaksin (booster shots) untuk meningkatkan daya kekebalan tubuh mereka daripada penyakit, sebelum berangkat ke Sukan SEA ke-30 di Filipina. Demikian menurut Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) hari ini (23 Nov).

Menjawab pertanyaan media, SNOC menyatakan "langkah tambahan" diambil bagi memastikan "perlindungan lebih baik".

"Program imunisasi kebangsaan Singapura adalah menyeluruh dan meliputi perlindungan terhadap polio dan penyakit campak," kata Dr Teoh Chin Sim, ketua pegawai perubatan Team Singapore bagi Sukan SEA.

"Namun, dengan kian banyak insiden polio di Filipina baru-baru ini (seawal 20 November 2019) dan penyakit campak merata dunia, kita mengaturkan supaya kontinjen Team Singapore diberi dos tambahan untuk meningkatkan daya ketahanan tubuh mereka sebelum berlepas ke Filipina.

"Vaksinasi tersebut adalah langkah-langkah tambahan bagi memastikan perlindungan lebih baik, selain daripada dos ubat yang diberikan sebelum ini."

Team Singapore akan menghantar kontinjen terbesarnya ke Sukan SEA tahun ini, iaitu seramai 647 atlit yang akan menyertai pertandingan bagi 48 sukan. Sukan SEA tahun ini akan berlangsung di Clark, Manila dan Subic dari 30 Nov hingga 11 Dis. Keseluruhannya, ada 530 acara yang akan dipertandingkan.

Dua kes polio pertama kali dikesan pada September - yang pertama seumpamanya di Filipina sejak 2001.

Kes terkini penyakit itu dilaporkan di pulau Mindanao awal minggu ini, lapor media tempatan.

Risiko penyakit merebak di Filipina adalah tinggi, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), disebabkan kurang perlindungan imunisasi yang berlaku akibat skandal vaksin denggi.

Filipina negara pertama yang menggunakan Dengvaxia dalam satu program besar-besaran pada 2016 tetapi tindakan cuai membuat sesetengah pihak mendakwa kanak-kanak mati selepas divaksin.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita