Skip to main content

Sukan

Team Singapore catat prestasi terbaik negara di Piala Dunia Boccia 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jun 2026 03:38PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 03:56AM
  • Atlet boccia Singapura seperti Aloysius Gan, Eve Cher, Jovin Tan dan Nurulasyiqah Mohammad Taha meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di Piala Dunia Boccia Astana 2026.
  • Kejayaan ini merupakan pencapaian terbaik negara dalam sejarah Piala Dunia boccia, mengatasi prestasi di Montreal pada Mei lalu.
  • Pencapaian tersebut hasil usaha gigih atlet, sokongan jurulatih, keluarga, SDSC serta penaja Tiger Balm, dan menjadi persiapan penting menjelang Kejohanan Dunia di Seoul Ogos nanti.
  • Atlet menempuh pelbagai cabaran dalam perlawanan peringkat kumpulan hingga akhir, membuktikan keupayaan Singapura bersaing di peringkat dunia dan memberi motivasi ke arah Sukan Paralimpik 2028.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Atlet boccia Singapura mencatat pencapaian terbaik negara dalam kejohanan Piala Dunia apabila mereka meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Piala Dunia Boccia Astana 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 8 Jun di Astana, Kazakhstan.

Aloysius Gan Kai Hong, 20 tahun, bersama rakan pertandingan atletnya, Eve Cher, memenangi pingat emas dalam acara Individu BC3 Lelaki.

Sementara itu, Jovin Tan Wei Qiang, 40 tahun, meraih pingat perak dalam acara Individu BC1 Lelaki.

Gan kemudian bergandingan dengan Nurulasyiqah Mohammad Taha (yang disertai rakan pertandingan atletnya Nur Azizah Ahmad Rumzi) dalam acara Beregu BC3 dan menambah satu lagi pingat gangsa buat Singapura.

Keputusan itu menandakan kutipan pingat kedua Singapura dalam musim Piala Dunia Boccia 2026, selain menjadikannya pencapaian individu terbaik negara di peringkat Piala Dunia setakat ini.

Pencapaian tersebut turut mengatasi kejayaan Singapura di Piala Dunia Boccia Montreal 2026 pada Mei lalu, apabila Jovin Tan memenangi pingat emas dan Jeralyn Tan Yee Ting membawa pulang gangsa.

Jovin Tan meneruskan prestasi cemerlangnya apabila menamatkan peringkat kumpulan tanpa kalah menerusi kemenangan ke atas Julien Parmentier dari Perancis, Yerhat Almat dari Kazakhstan dan John Loung dari Hong Kong, juara bertahan Paralimpik serta pemain nombor satu dunia.

Pemain ranking ketujuh dunia itu kemudian mengalahkan Kuanysh Askarbekov dari Kazakhstan pada suku akhir dan Sungjoon Jung dari Korea Selatan yang menduduki ranking kelima dunia pada separuh akhir untuk mara ke peringkat akhir Piala Dunia kedua berturut-turut.

Bagaimanapun, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas di tangan Muhamad Syafa dari Indonesia yang kini menduduki ranking kedua dunia.

Gan turut mempamerkan kempen cemerlang tanpa kalah dalam perjalanan merangkul gelaran Individu BC3 Lelaki.

Beliau muncul juara kumpulan selepas menewaskan Jarosław Plewa dari Poland, Temirlan Altynsary dari Kazakhstan dan Gabriele Zendron dari Itali sebelum mara ke separuh akhir.

Di separuh akhir, beliau mengalahkan Tak Wah Tse dari Hong Kong sebelum mengatasi Jules Menard dari Perancis dalam perlawanan akhir untuk meraih pingat emas Piala Dunia pertamanya.

Gan berkata: “Saya gembira dapat memenangi pingat emas dalam kejohanan ini. Saya telah berusaha ke arah detik ini selama lebih empat tahun sejak mula bertanding di peringkat antarabangsa.

"Terdapat banyak cabaran dan pengalaman yang membantu saya berkembang sedikit demi sedikit. Ini satu lagi pencapaian penting buat saya dan ia memberi dorongan untuk pergi lebih jauh.

Jovin pula berkata: “Pengorbanan, keringat dan air mata adalah apa yang membentuk seorang juara. Saya sangat gembira dengan keputusan yang kami capai di Piala Dunia ini.

"Ia bukan perjalanan yang mudah dan terdapat banyak cabaran sepanjang jalan, tetapi sokongan daripada Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC), jurulatih, rakan sepasukan, ahli keluarga, rakan-rakan dan penjaga memberi saya kekuatan untuk terus berjuang. Kejayaan ini adalah milik mereka sama seperti milik saya.”

Dalam acara Beregu BC3, Nurulasyiqah dan Gan meraih pingat gangsa selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu mengungguli Kumpulan B tanpa kalah, termasuk menewaskan pasangan Great Britain, Sally Kidson dan Patrick Wilson, 5-1 serta pasangan ranking ketiga dunia dari Hong Kong, Yuen Kei Ho dan Tak Wah Tse, 4-0 untuk mara ke separuh akhir.

Mereka bagaimanapun kalah 7-0 kepada pasangan Itali, Michela Favini dan Gabriele Zendron.

Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, pasangan Singapura itu kembali berdepan wakil Hong Kong dan berjaya mencatat kemenangan tipis 3-2 untuk memastikan tempat di podium.

Piala Dunia Boccia Astana 2026 merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan negara menjelang Kejohanan Dunia Boccia 2026 di Seoul pada Ogos nanti.

Pengarah Eksekutif SDSC, Kelly Fan, berkata pencapaian meraih beberapa pingat dalam dua kejohanan Piala Dunia berturut-turut merupakan satu mercu tanda penting bagi sukan boccia di Singapura.

“Keputusan ini mencerminkan bukan sahaja bakat dan keazaman atlet kami, malah usaha kolektif jurulatih, rakan berlatih atlet, penjaga dan ahli keluarga yang menyokong mereka setiap hari.

“Kami amat teruja melihat perkembangan berterusan atlet seperti Jovin dan Aloysius yang membuktikan bahawa Singapura mampu bersaing secara konsisten dengan atlet terbaik dunia.

“Dengan Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung pada Ogos serta sokongan padu daripada penaja kami, Tiger Balm, kami yakin dapat menepati sasaran kami bagi persiapan menuju Sukan Paralimpik Los Angeles 2028,” katanya lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita