Skip to main content

Sukan

Tak salah: Sifat 'tamak' Salah bantu Liverpool kata Klopp

Rasa 'tamak' penyerang Liverpool Mohamed Salah untuk menjaringkan gol, membantu kelab itu untuk menduduki empat tangga teratas Liga Perdana England, kata pengurus Juergen Klopp.

Anggaran Waktu Membaca:
Tak salah: Sifat 'tamak' Salah bantu Liverpool kata Klopp

EPL: Mohamed Salah jaringkan gol, bantu Liverpool atasi West Ham 3-1 pada 31 Jan 2021 (Gambar: Pool via REUTERS/Justin Setterfield)

Diterbitkan : 23 May 2021 11:55PM Dikemas Kini : 23 May 2021 11:57PM

REUTERS: Rasa 'tamak' penyerang Liverpool Mohamed Salah untuk menjaringkan gol, membantu kelab itu untuk menduduki empat tangga teratas Liga Perdana England, kata pengurus Juergen Klopp.

Liverpool, yang merangkul gelaran juara musim lalu, berada di tangga kelapan pada Mac dengan kelayakan Liga Juara-Juara kelihatan sukar dicapai. Tetapi pasukan itu berjaya mencatat sembilan perlawanan tanpa kalah untuk melonjak ke tangga keempat.

Salah memainkan peranan penting dalam pasukan Klopp, menjaringkan 22 gol, sama dengan pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane dalam persaingan untuk anugerah Golden Boot (But Emas), yang mengiktiraf pemain Liga Perdana yang menjaringkan paling banyak gol.

"Sangat mudah untuk melihat di mana kedudukan kami tanpa gol jaringan Mo. Tetapi yang sama boleh dikatakan tentang pasukan lain tanpa gol yang dijaringkan oleh penjaring terbaik mereka," kata Klopp kepada para wartawan sebelum perlawanan di padang sendiri menentang Crystal Palace pada Ahad (23 Mei).

"Pasukan ini banyak membantunya, tetapi Mo juga banyak memainkan peranan. Keinginannya, profesionalismenya, rasa tamaknya juga yang membantu kita sepenuhnya."

Salah, pemain antarabangsa Mesir, adalah satu-satunya pemain Liverpool yang mencatat gol dua angka dalam liga musim ini, dengan Roberto Firmino, Sadio Mane dan Diogo Jota masing-masing menjaringkan sembilan gol.

"Ini adalah tahun yang sangat baik buatnya kerana bagi seorang penyerang dalam pasukan yang tidak sentiasa berada di atas, menjaringkan gol sebanyak ini sangat luar biasa. Itulah yang menjadikannya benar-benar istimewa," puji Klopp.

Chelsea (67 mata), Liverpool dan Leicester City (masing-masing 66 mata) kini dalam persaingan tiga penjuru untuk dua tempat terakhir kelayakan Liga Juara-Juara menjelang pusingan terakhir perlawanan Ahad ini.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita