Skip to main content

Sukan

Sukan SEA: Pesilat S'pura Muhammad Iqbal raih markah tertinggi, yakin dapat ke peringkat akhir

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pesilat negara, Muhammad Iqbal Abdul Rahman membuka tirai Sukan SEA bagi skuad silat negara dengan rentak kemenangan.

Dalam perlawanan bagi acara seni tunggal lelaki peringkat kalah mati yang berlangsung sekitar 12.30 tengah hari tadi, pesilat berusia 28 tahun itu berjaya meraih 9.960 mata dengan ketangkasan gerak-gerinya.

Iqbal menang tipis ke atas pesilat Indonesia, Asep Yuldan Sani, yang merangkul 9.950 mata.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Iqbal berkata: "Memasuki pertandingan ini saya tidak memikirkan siapa pesaing saya. Apa yang penting adalah saya memberikan 100 peratus. "

"Saya diberitahu bahawa saya mendapat markah tertinggi di antara semua pesilat bagi pusingan ini tetapi sekarang ini saya perlu berikan tumpuan untuk persembahan regu saya nanti," tambahnya.

 

 

<p>Gambar: meWatch</p>

Iqbal akan melangkah ke peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 3.10 petang, namun ditunda pada waktu yang belum disahkan lagi.

Dalam pusingan itu, Iqbal akan menentang pesilat dari negara Brunei Darussalam, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi.

Muhd Ali meraih markah 9.935, mengalahkan pesaingnya dari Filipina yang meraih markah 9.925.

Dalam Sukan SEA yang lalu, Iqbal memenangi pingat perak di temasya yang berlangsung di Filipina itu.

"Saya selalu yakin dengan kebolehan diri saya. Dapat melangkah ke pusingan seterusnya membuatkan saya lebih yakin untuk mara ke pusingan akhir nanti," jelas Iqbal.

MARKAH PESILAT SENI TUNGGAL WANITA S'PURA DIPOTONG

Pesilat Seni Tunggal Wanita Singapura, Siti Nazurah Mohd Yusoff pula tidak berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir selepas dikalahkan pesaingnya dari Laos dalam peringkat kalah mati.

Membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA, Nazurah yang berusia 21 tahun, hanya berjaya meraih 9.420 mata berbanding pesaingnya yang menerima 9.90 mata.

Sepatutnya Nazurah boleh menangkis pesaingnya dari Laos itu setelah mengumpul 9.920 mata namun markahnya dipotong 0.50 mata kerana senjata golok miliknya terjatuh ke lantai semasa pertunjukannya.

<p>Gambar: meWatch</p>

"Ia satu peluang yang sia-sia dan saya kecewa senjata golok saya terjatuh tetapi saya gembira dengan persembahan saya sebab ia merupakan persembahan terbaik saya sejauh ini. Saya percaya saya boleh menang jika bukan kerana potongan mata," ujar Nazurah kepada BERITAmediacorp.

REGU LELAKI GAGAL REBUT PINGAT 

Dalam pada itu, harapan pasukan silat Singapura meraih pingat dalam acara Regu Lelaki punah setelah dikalahkan Thailand. 

Para pesilat negara, Muhammad Iqbal Abdul Rahman, Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Nazrul Mohd Kamal meraih 9.915 mata manakala para pesilat Thailand menerima 9.960 mata. 

Mereka tersingkir dalam pusingan kalah mati itu. 

"Meskipun kami terkeluar daripada pertandingan, kami sudah memberikan persembahan dan usaha terbaik. Kami akan menggunakan pengalaman ini sebagai pembakar semangat bagi pertandingan-pertandingan akan datang, terutama sekali bagi Kejohanan Dunia akan datang," jelas Nazrul kepada BERITAmediacorp.

Nazrul menambah: "Meskipun pengalaman Sukan SEA ini agak singkat, ia juga amat bermakna. Setiap pertandingan, tidak kira kalah atau menang sangat bermakna."

Seramai 21 pesilat negara kini berada di Hanoi bagi merebut pingat Sukan SEA ke-31.

Dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, pasukan silat negara berjaya merangkul dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Ikuti liputan Sukan SEA ke-31 di Vietnam secara langsung di meWatch atau ikuti sorotannya di saluran YouTube Mediacorp Entertainment.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita