Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukan SEA: Pesilat seni S'pura sumbang 2 gangsa; dalam landasan sumbang 2 emas buat negara

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Singapura  berpeluang merebut dua pingat emas di Sukan SEA ke-31 di Hanoi menerusi acara Silat (Seni) pada Rabu (11 Mei). 

Pesilat tunggal lelaki dan ganda putera negara berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas menampilkan persembahan memberangsangkan dalam separuh akhir malam tadi (10 Mei). 

MUHD IQBAL RAIH MARKAH 9.960, LANGKAH KE PERINGKAT AKHIR

Pesilat negara, Muhammad Iqbal Abdul Rahman, 28 tahun berjaya mara ke peringkat akhir bagi kategori Seni Tunggal Lelaki selepas mengalahkan saingannya dari Brunei Darussalam, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi. 

Iqbal mengulangi prestasi memberangsangkannya semasa pusingan kalah mati, dan sekali lagi meraih 9.960 mata dalam pusingan separuh akhir. 

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Iqbal berkata: "Saya sangat gembira dapat mara ke peringkat akhir. Saya juga gembira dengan persembahan saya tadi dan merasakan persembahan separuh akhir saya lebih baik daripada persembahan saya semasa peringkat kalah mati. 

"Saya juga tak begitu gementar kalau dibandingkan persembahan pusingan sebelum ini. Saya pun dapat memperbaiki beberapa aspek rutin persembahan saya," tambahnya. 

Saingan Iqbal dari Brunei mendapat 9.930 mata. 

Ini sekali gus membuka peluang bagi Iqbal memperbaiki prestasi terbaiknya di Sukan SEA edisi lepas, di mana dia meraih pingat perak. 

Iqbal berkata: "Saya akan memberikan yang terbaik dalam pusingan akhir dan akhiri Sukan SEA ini dengan pingat emas!"

Iqbal akan bertanding dengan pesilat Thailand, Ilyas Sadara, dalam pusingan akhir esok (11 Mei), bagi merebut pingat emas. 

Ilyas juga meraih 9.960 mata dalam perlawanannya  menentang pesilat dari Malaysia, yang mendapat 9.915 mata. 

ADIK BERADIK BERPELUANG RAIH EMAS DALAM SUKAN SEA SULUNG MEREKA

Impian memenangi pingat emas Sukan SEA mungkin menjadi kenyataan bagi pesilat Ganda Lelaki Singapura. 

Muhammad Haziq Mohammad Zaque, 19 tahun dan adiknya Muhammad Hazim Muhammad Zaque, 17 tahun, melangkah ke pusingan akhir selepas meraih 9.910 mata.

Markah itu ternyata cukup untuk mereka mengharumkan nama negara dan merebut pingat emas esok (11 Mei) selepas pesaing mereka dari Thailand   tidak layak mara ke pusingan seterusnya kerana senjata mereka terpatah semasa persembahan. 

Yang jelas, Haziq dan Hazim berbangga dengan persembahan bagi penampilan Sukan SEA sulung mereka. 

"Kami tidak ingin memberikan harapan terlalu tinggi untuk diri sendiri. Kami ada lagi satu lagi persembahan, tetapi yang penting, kami bersyukur dapat beraksi di peringkat akhir dan akan memberikan yang terbaik!" kata adik beradik itu. 

Haziq dan Hazim akan menentang pesilat dari Malaysia bagi pusingan akhir esok (11 Mei).

Malaysia (9.915 mata) menundukkan Vietnam (9.895 mata) dalam pusingan separuh akhir.

AKSI PENUH GAYA AZLYANA DAN SHARIFAH CUKUP UNTUK PINGAT GANGSA SAJA

Pesilat wanita Singapura, Nur Azlyana Ismail, 23 tahun, pernah memenangi  pingat perak bagi kategori ganda puteri di edisi Sukan SEA ke-29 yang diadakan di Malaysia pada 2017. 

Malangnya, Azlyana tidak dapat mengulangi pencapaiannya itu tahun ini.

Nur Azlyana dan pasangan gandingnya, Sharifah Shazza Samsuri, 21 tahun, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa bagi edisi Sukan SEA tahun ini. 

Dalam peringkat separuh akhir, aksi melayang pasangan wanita itu mendapatkan mereka 9.86 mata. 

Namun, markah yang diraih tidak mencukupi untuk menumpaskan pesaing mereka dari Indonesia yang menampilkan persembahan penuh gaya dan bersemangat, sekali gus mendapat markah tertinggi dalam peringkat separuh akhir, iaitu 9.915.
 
"Saya tidak begitu kecewa dengan keputusan ini kerana saya rasa persembahan itu merupakan persembahan kami yang terbaik sejauh ini. Untuk menampilkan persembahan sebaik itu di pertandingan antarabangsa pertama buat kami bersama, sudah membuat saya bangga sekali," jelas Azlyana kepada BERITAmediacorp. 

Sharifah pula berkata: "Saya sedih jugalah tidak dapat melangkah ke peringkat akhir. Tetapi sekurang-kurangnya persembahan ini antara yang terbaik kami berdua tunjukkan sejauh ini. Kami masih lagi ada ruang untuk diperbaiki, tetapi saya tahu saya sudah memberikan yang terbaik."

Apabila ditanya apakah kekurangan persembahan separuh akhir mereka, Sharifah berkata: "Saya rasa tenaga kami perlu lebih konsisten. Kami memulakan persembahan lebih bertenaga daripada persembahan-persembahan lain yang kami buat sebelum ini, jadi untuk langkah-langkah terakhir, saya ada rasa tenaga kami semakin berkurangan."  

Apabila pulang ke Singapura nanti, gandingan puteri itu berhasrat untuk berlatih lebih gigih lagi.

"Saya rasa kami perlu memperbaiki teknik dalam membuat setiap langkah lebih menari dan bertenaga sambil mengekalkan standard yang baik," jelas Azlyana.

S'PURA BERI PERSAINGAN SENGIT DALAM REGU PUTERI, RAIH PINGAT GANGSA

Kategori terakhir yang dipertandingkan bagi hari pertama acara silat adalah peringkat separuh akhir bagi kategori regu puteri. 

Brunei Darussalam dan Vietnam berjaya mara ke peringkat akhir selepas masing-masing mengalahkan Malaysia dan Singapura. 

Vietnam berjaya meraih 9.960 mata, iaitu yang tertinggi bagi peringkat separuh akhir, manakala pasukan Singapura, yang merangkumi Amirah Sahrin, Iffah Batrisyia Noh dan Nur Ashikin Zulkifli, mendapat 9.930 mata. 

Meskipun terkandas di peringkat separuh akhir, regu puteri Singapura berjaya menyumbangkan pingat gangsa untuk negara. 

Ketiga-tiga pesilat wanita dalam regu puteri membuat penampilan sulung mereka di Sukan SEA Hanoi dan patut berbangga atas persembahan mereka. 

Ikuti liputan Sukan SEA ke-31 di Vietnam secara langsung di meWatch atau ikuti sorotannya di saluran YouTube Mediacorp Entertainment.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan