Sukan SEA: Atlit terjun cantik Fong Kay Yian sumbang gangsa bagi 3m papan anjal
(Gambar: Andy Chua/SportSG)
HANOI: Atlit terjun cantik Singapura Fong Kay Yian berjaya meraih pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal perseorangan wanita di Sukan SEA ke-31 pada Selasa (10 Mei).
Acara yang berlangsung di Pusat Sukan Akuatik Hanoi, Vietnam itu menyaksikan atlit Malaysia Ng Yan Yee meraih pingat emas manakala teman senegara Ong Ker Ying menang pingat perak.
Pingat sumbangan Fong itu adalah yang kedua bagi Singapura selepas Avvir Tham, 17 tahun, menang pingat perak pada Isnin dalam acara 1 meter papan anjal.
Bagi Fong, ia adalah acara ketiga dalam temasya tersebut.
Pada Ahad (8 Mei), dia mendapat tempat kelima dalam pusingan akhir 1 meter papan anjal perseorangan wanita.
Fong yang bergabung dengan Ashlee Tan pada Isnin (9 Mei) menduduki tempat ketiga melalui acara terjun irama wanita 3 meter papan anjal.
Memandangkan hanya tiga pasangan atlit bertanding dalam acara itu, pingat gangsa tidak dianugerahkan kepada Fong dan Tan.
Ikuti liputan Sukan SEA ke-31 di Vietnam secara langsung di meWatch atau ikuti sorotannya di saluran YouTube Mediacorp Entertainment.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.