Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Skuad polo air lelaki baharu SG sedia pertahan emas

Pasukan polo air lelaki Singapura menghampiri temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) yang akan berlangsung bulan depan dengan barisan pemain baharu dan keyakinan yang diperbaharui untuk mempertahankan kejuaraannya.
Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Skuad polo air lelaki baharu SG sedia pertahan emas
Dengan purata umur hanya 21 tahun, pasukan polo air lelaki Singapura sebahagian besarnya terdiri daripada para pelajar universiti. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 25 Nov 2025 06:26PM Dikemas Kini : 08 Dec 2025 11:38AM
SINGAPURA: Pasukan polo air lelaki Singapura menghampiri temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) yang akan berlangsung bulan depan dengan barisan pemain baharu dan keyakinan yang diperbaharui untuk mempertahankan kejuaraannya.

Barisan yang diperkemas itu akan berlepas ke Thailand dengan tekad untuk mengekalkan pingat emasnya, berikutan kejayaan mereka kembali ke puncak di Kemboja pada 2023.

Kejayaan terbaharu itu dicapai empat tahun selepas rekod kemenangan 54 tahun mereka terhenti pada 2019. Sebelum itu, Singapura muncul juara Sukan SEA selama 27 edisi berturut-turut.

BARISAN BAHARU

Kapten Sanjiv Rajandra, yang akan membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA, mengetuai skuad 15 anggota yang turut merangkumi 10 muka baharu. Ia menandakan permulaan babak baharu bagi kuasa besar serantau tersebut.

Walaupun kurang berpengalaman, pemain berusia 23 tahun itu bertekad untuk mengekalkan legasi yang menjadi kebanggaan negara.

“Ia satu kebanggaan yang besar, dan bersama kebanggaan itu datang tanggungjawab besar yang perlu saya pikul,” kata Sanjiv, sambil menambah bahawa skuad sudah bekerja keras untuk memperbaiki isu-isu terdahulu.

“Saya rasa pasukan sudah bersedia. Kami sudah membuat persiapan. Semua orang teruja.”

Dengan purata umur hanya 21 tahun, skuad itu sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar universiti.

Antara mereka ialah Chow Yong Jun, 16 tahun – pemain termuda dalam pasukan – yang bakal membuat penampilan besar pertamanya di pentas Sukan SEA.

Mengimbangi pelajaran atau kerja dengan sesi latihan hingga lewat malam, para pemain mengorbankan waktu tidur dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan – satu cabaran yang mereka tangani secara bersama-sama.

“Pasukan kami sangat muda … jadi keperluan untuk menyesuaikan jadual masing-masing dengan beban latihan merupakan satu cabaran besar,” kata Sanjiv.

“Namun saya rasa semua rakan sepasukan faham pengorbanan yang diperlukan untuk menjadi atlet negara. Mereka tahu bahawa jika mereka mahu pulang dengan pingat emas, mereka perlu mengorbankan sesuatu.”

PERSIAPAN RAPI

Perjalanan mereka setakat ini penuh dengan ketabahan dan keazaman.

Pada Julai, pasukan itu membuat penampilan sulungnya yang bersejarah di Kejohanan Akuatik Dunia di tanah air, dan menamatkan saingan di tempat ke-15 daripada 16 pasukan.

Namun, pengalaman itu terbukti berharga dalam meningkatkan prestasi. Dua bulan kemudian, mereka mendapat tempat kelima pada Kejohanan Akuatik Asia di India.

Persiapan untuk mempertahankan gelaran juaranya di Thailand bagaimanapun masih jauh daripada selesai.

Ketua jurulatih Kan Aoyagi berkata tempoh terakhir sebelum kejohanan akan menjadi sangat penting.

Pasukan itu bakal menjadi tuan rumah kepada sebuah pasukan universiti Jepun untuk perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke China selama seminggu menjelang Sukan SEA.

Aoyagi menyatakan keyakinan terhadap para pemainnya, sambil menyebutkan bahawa skuad kali ini adalah lebih kuat berbanding pasukan yang menyertai Sukan SEA dan Sukan Asia sebelum ini.

“Kami mesti mengalahkan semua pasukan,” katanya. “Kami tidak menghadapi sebarang isu, cuma kami perlu berhati-hati ketika menentang Thailand kerana mereka mempunyai kelebihan selaku tuan rumah.”

Pertandingan polo air lelaki akan berlangsung selama lima hari di Bangkok dan berakhir dengan perlawanan akhir pada 19 Disember.

Sehingga nanti, tumpuan diberikan kepada penyempurnaan strategi dan untuk mengasah permainan.

Bagi skuad muda ini, temasya berkenaan memberi peluang untuk sekali lagi membuktikan dominasi Singapura dalam sukan polo air.

Para pemain serta barisan jurulatih memberitahu Mediacorp bahawa mereka yakin mampu mengekalkan kedudukan teratas di podium.

Naib kapten Shaunn Lok, yang juga bakal membuat penampilan sulung di Sukan SEA, berkata latihan yang dijalankan adalah sangat intensif, sehingga 10 sesi seminggu, melibatkan hampir 30 jam secara keseluruhan.

“Saya rasa kami mampu menang dengan selesa. Itulah matlamat kami, untuk menang dengan selesa bagi setiap perlawanan, dan harapnya keputusan setiap perlawanan … jelas menunjukkan kemenangan mutlak,” kata beliau.

“Kami tidak mahu perlawanan yang sengit atau rapat yang (menunjukkan) jurang yang tidak besar, atau bahawa Thailand serta negara (Asia Tenggara) lain masih dekat dengan kami sebagai pesaing.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita