Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Skuad bola sepak SG tersingkir, kalah 0-3 kepada Thailand

Pasukan Singa Muda tersingkir daripada peringkat kumpulan Sukan SEA untuk kali keenam berturut-turut pada Khamis (11 Dis) selepas kalah 0-3 kepada Thailand di Stadium Rajamangala.
Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Skuad bola sepak SG tersingkir, kalah 0-3 kepada Thailand
Para pemain Singa Muda di Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok, Thailand, pada 6 Disember 2025. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
BANGKOK: Pasukan Singa Muda tersingkir daripada peringkat kumpulan Sukan SEA untuk kali keenam berturut-turut pada Khamis (11 Dis) selepas kalah 0-3 kepada Thailand di Stadium Rajamangala.

Dengan pasukan itu memerlukan kemenangan besar ke atas pasukan tuan rumah bagi mengekalkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya, pasukan Singa Muda akhirnya tewas selepas Yotsakorn Burapha menjaringkan dua gol diikuti dengan satu lagi gol oleh Siraphop Wandee.

Ini bermakna pasukan Singa Muda kini berada di tangga tercorot dalam Kumpulan A di belakang Thailand dan Timor-Leste, dengan hanya satu gol dijaringkan dan enam gol bolos.

Kali terakhir pasukan Singa Muda mara ke peringkat separuh akhir adalah pada 2013.

Mereka berdepan cabaran yang sukar sejak awal lagi selepas kalah 1-3 di tangan Timor-Leste dalam perlawanan pembukaan.

Di hadapan 7,896 penonton, Thailand menguasai perlawanan.

Namun pasukan Singa Muda mencipta peluang terlebih dahulu untuk menjaringkan gol apabila pemain sayap
Muhammad Asis melepaskan rembatan melepasi palang selepas sepakan percuma yang dirancang dengan kemas mengejutkan pertahanan Thailand.

Namun, Thailand kembali mengasak, dengan Wichan Inaram mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Singapura.

Beliau membuat percubaan sebanyak dua kali bagi mendorong bola ke Thanakrit Chotmuangpak, namun penjaga gol Aizil Yazid menafikan kedua-dua percubaan tersebut dengan cemerlang.

Asis terus menjadi harapan Singa Muda dan pada minit ke-35, beliau melepaskan rembatan dari luar kotak penalti, yang akhirnya terkena palang.

Thailand kemudian hampir memperoleh gol sebelum waktu rehat apabila usaha Chanapach Buaphan tersasar dalam masa tambahan pada babak pertama.

Thailand menunjukkan taring pada babak kedua dan menjaringkan tiga gol dalam tempoh kurang 10 minit.

Siraphop yang tidak dikawal di sebelah kanan kotak penalti melepaskan rembatan lencongan yang melepasi Aizil pada minit ke-49.

Belum sempat Singapura mengatur langkah, penyerang Thailand Yotsakorn menjaringkan gol kedua, dua minit kemudian dari sudut yang sempit, menyudahkan bola dari arah kanan pada jarak yang jauh.

Penyerang berusia 20 tahun itu, yang kini dipinjamkan kepada Hougang United, menambah satu lagi gol empat minit kemudian menerusi sepakan percuma yang deras melepasi benteng pertahanan, yang masuk terus ke dalam gawang.

Thailand berpeluang menambah jaringan pada beberapa kesempatan selepas itu, namun satu halangan di garisan gol oleh Raoul Suhaimi serta aksi cemerlang Aizil mengekang usaha mereka.

Dalam edisi Sukan SEA sebelumnya, Singa Muda kalah 0-7 kepada Malaysia iaitu kekalahan terbesar pernah dialami Singapura dalam Sukan SEA sejak kejohanan itu menjadi acara berdasarkan umur.

Awal tahun ini, Singa Muda tidak disenaraikan dalam senarai awal pasukan untuk Sukan SEA.

Namun mereka berjaya membuat rayuan selepas memenangi satu dan meraih keputusan seri dalam satu daripada dua perlawanan persahabatan tertutup bagi mengukuhkan kes bagi penyertaan mereka.

Perubahan jadual perlawanan untuk Singa Muda pada saat akhir juga menjejaskan persiapan pasukan.

Mereka pada asalnya diundi ke dalam Kumpulan C untuk menentang juara bertahan Indonesia, Myanmar dan Filipina di Chiang Mai. Namun selepas pengunduran pasukan Kemboja, pasukan itu dipindahkan ke Kumpulan A.

Kumpulan B pula terdiri daripada Malaysia, Vietnam dan Laos.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita