Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Pertunjukan bunga api warnai majlis penutup di Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Pertunjukan bunga api warnai majlis penutup di Thailand
(Gambar: CNA/Jeremy Long)
Diterbitkan : 20 Dec 2025 10:43PM Dikemas Kini : 20 Dec 2025 10:49PM
BANGKOK: Satu pertunjukan besar-besaran bunga api menandakan tamatnya Sukan SEA ke-33 pada Sabtu (20 Dis).

Acara selama satu jam setengah di Stadium Rajamangala di Bangkok dimulakan dengan adegan lakonan 12 minit berjudul "The Sound of Whistle", yang diserikan dengan persembahan oleh bintang pop tempatan, pancaragam dan para penari.

Ia diikuti dengan perarakan atlet, di mana kontinjen berbeza, termasuk Singapura, disambut dengan sorakan gemuruh, meskipun terdapat sejumlah besar kerusi yang tidak dipenuhi.
Related article image
(Gambar: CNA/Jeremy Long)
"Sukan SEA ke-33 kini sudah berakhir, di mana ia berjalan dengan lancar," kata Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Atthakorn Sirilatthayakorn.

"Jawatankuasa penganjur telah menerima kerjasama yang luar biasa dari semua sektor - terutamanya pegawai kerajaan, kakitangan dan penduduk Bangkok, Chonburi dan Songkhla, serta banyak agensi awam dan pertubuhan sektor privet yang menyokong Sukan SEA ini."

Sukan SEA kemudian diisytiharkan ditutup secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand Thamanat Prompow, sebelum api dipadamkan.

Bendera persekutuan Sukan SEA diserahkan kepada Malaysia, yang akan menjadi tuan rumah edisi seterusnya pada 2027.

Sukan SEA kali ini dianjurkan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Thailand dan Kemboja.

Terdapat juga detik mengharukan menyusuli beberapa peristiwa yang berlaku baru-baru ini. Pada Oktober, mantan Ratu Thailand Sirikit meninggal dunia pada usia 93 tahun, dengan negara itu memasuki tempoh berkabung.

Penganjur kemudian mengumumkan bahawa ia memindahkan lokasi untuk 10 acara sukan ke Bangkok, termasuk bola sepak lelaki, disebabkan banjir dahsyat di selatan Thailand yang meragut lebih 170 nyawa.

Sehari selepas upacara perasmian, Kemboja menarik diri daripada Sukan SEA, atas sebab-sebab keselamatan.

Sukan itu juga dilanda kontroversi selepas atlet e-sukan Thailand, Naphat Warasin, disingkirkan selepas didapati menipu semasa mengambil bahagian dalam perlawanan pasukan wanita Arena of Valor.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa persembahan cemerlang daripada para atlet, termasuk wira tempatan Puripol Boonson, yang menjadi pelari pecut Asia Tenggara yang pertama memecahkan rekod masa 10 saat dalam acara 100 meter.

Ini adalah kali ketujuh Thailand menjadi tuan rumah Sukan SEA, dan yang pertama sejak 2007. Sukan SEA mula diadakan di Bangkok pada 1959, ketika ia dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).

Atlet Singapura menamatkan kempen Sukan SEA dengan memenangi 52 pingat emas, 61 perak dan 89 gangsa, sekali gus menduduki tangga kelima dalam kedudukan pingat keseluruhan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita