Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Perjuangan Loh Kean Yew berakhir selepas kalah di tangan pemain Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Perjuangan Loh Kean Yew berakhir selepas kalah di tangan pemain Indonesia
Loh Kean Yew dari Singapura semasa perlawanan beliau di Gimnasium 4 Universiti Thammasat di Pathum Thani pada 12 Disember 2025. (Gambar: SNOC/Lim Weixiang)
Diterbitkan : 12 Dec 2025 11:15PM
BANGKOK: Singapura perlu terus menunggu untuk merebut pingat emas perseorangan lelaki dalam acara badminton di Sukan SEA, selepas pilihan utama Loh Kean Yew ditumpaskan oleh pemain Indonesia, yang juga pemain nombor 48 dunia, Zaki Ubaidillah, pada peringkat suku akhir.

Di Gimnasium 4 Universiti Thammasat di Pathum Thani, misi pemain nombor 10 dunia itu untuk menjadi lelaki pertama memenangi emas perseorangan sejak Wong Shoon Keat pada 1983 kecundang apabila beliau kalah 21-19, 21-10.

Pemain Indonesia itu akan berdepan pemain pilihan keempat Malaysia, Leong Jun Hao, pada Sabtu (13 Dis).

Dalam pusingan pembukaan, Loh terpaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan ke atas pemain Filipina, Jewel Angelo Albo. Beliau menumpaskan pemain ranking dunia ke-214 itu 21-17, 21-19.

Awal dari itu, Zaki turut mencipta kejutan menentang pemain Singapura.

Dalam acara berpasukan, pemain Indonesia itu membelasah pemain ranking dunia ke-21, Jason Teh, 21-2, 21-13, untuk membantu Indonesia memperoleh kemenangan 3-1 ke atas Singapura.

Kekalahan itu menyebabkan pasukan lelaki membawa pulang pingat gangsa, seperti pasukan wanita.

Pada awal Jumaat, pasangan beregu campuran Terry Hee dan Jin Yujia kalah kepada pasangan pilihan utama Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Dalam beregu lelaki, pasangan Junsuke Kubo dan Wesley Koh tumpas 17-21, 19-21 di tangan pilihan keempat Indonesia, Leo Carnando dan Bagas Maulana.

Kekalahan Loh bermakna kempen pemain badminton Singapura berakhir dengan dua pingat gangsa, kurang satu berbanding edisi sebelum ini di Kemboja, di mana mereka turut meraih gangsa dalam beregu lelaki.

Sebelum Sukan SEA, Persatuan Badminton Singapura menetapkan sasaran empat pingat bagi kontinjen seramai 18 atlet.

Saksikan Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 secara langsung di mewatch. Daftar masuk secara percuma di www.mewatch.sg/thailand2025 untuk mengikuti semua aksi, dan ikuti Mediacorp Sports di TikTok, Instagram dan Facebook untuk lebih banyak kemas kini sukan!
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita