SUKAN SEA 2025: Perenang SG Gan Ching Hwee, pasukan berganti-ganti lelaki menang pingat emas
BANGKOK: Perenang Singapura, Gan Ching Hwee dan pasukan berganti-ganti lelaki meraih dua pingat emas pada hari ketiga pertandingan renang di Sukan SEA ke-33. Ini bermakna atlet renang Singapura merangkul tujuh pingat emas setakat ini.
Perenang muda Julia Yeo, 14 tahun, dan Russel Pang, 15 tahun, yang tampil buat kali pertama di Sukan SEA, turut mencatat rekod negara baharu.
Julia menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam acara 200m kuak lentang dengan masa 2:16.51. Ini memecahkan rekod negara yang dipegang Tao Li pada 2009.
"Saya terkejut (kerana saya memecahkan rekod negara)," kata pelajar Sekolah Sukan Singapura itu. "Saya gembira kegigihan saya membuahkan hasil."
Dalam acara lelaki 1500m, Russel memecah rekod Glen Lim pada 2019 dengan masa 15:28.46 untuk membawa pulang pingat gangsa.
"Ia sangat bermakna bagi saya kerana ia membuka banyak peluang untuk masa depan. Saya harap lebih banyak kejayaan seperti ini akan datang," kata Russel.
"Melihat mereka dari kolam latihan ... benar-benar memberi saya banyak dorongan untuk perlumbaan hari ini," kata Gan yang memenangi acara 400m gaya bebas wanita, mengatasi Kamonchanok Kwanmuang (Thailand) dan Thi My Tien Vo (Vietnam).
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut beliau memenangi pingat emas dalam acara tersebut di Sukan SEA.
"Saya mahu meneruskan rentak ini untuk Team Singapore."
Ini sehari selepas Gan berjaya mempertahankan pingat emasnya dalam acara 200m gaya bebas wanita, sambil mencatat rekod peribadi baharu.
"Prestasi saya pagi tadi tidak begitu lancar seperti yang saya harapkan. Saya memasuki peringkat akhir malam ini dengan sedikit keraguan," kata Gan.
"Saya teringat kata-kata jurulatih saya - percaya pada diri sendiri, berenang seperti yang saya selalu latih dan semuanya akan baik-baik saja. Saya gembira saya melakukannya."
Kuartet Quah Zheng Wen, Chan Jun Hao, Jonathan Tan dan Mikkel Lee turut memenangi emas dalam acara 4x100m berganti-ganti rampaian lelaki, mengatasi Thailand dan Vietnam.
Kemenangan ini bermakna Singapura sudah memenangi acara tersebut tujuh kali berturut-turut sejak 2013.
Ini merupakan emas ketiga Lee dalam temasya sukan ini.
Namun, satu lagi rentetan kemenangan terhenti pada awal malam itu apabila Quah Ting Wen dikalahkan Kayla Sanchez dan Heather White dari Filipina dalam acara 100m gaya bebas. Quah tidak pernah kalah dalam acara itu sejak 2015, tetapi kali ini membawa pulang pingat gangsa.
Saksikan Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 secara langsung di mewatch. Daftar masuk secara percuma di www.mewatch.sg/thailand2025 untuk mengikuti semua aksi, dan ikuti TikTok, Instagram dan Facebook Mediacorp Sports untuk kemas kini sukan terkini!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.