Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Penampilan sulung pasukan Kabaddi lelaki dan wanita bawa tuah enam gangsa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasukan wanita dan lelaki Kabaddi negara membawa pulang sebanyak enam pingat gangsa di Sukan SEA Thailand.

Ini bermakna mereka berjaya mencapai sasaran pingat yang ditetapkan untuk temasya sukan itu kali ini.

Pasukan lelaki dan wanita masing-masing memungut tiga pingat, satu daripada setiap acara - tujuh lawan tujuh, lima lawan lima dan tiga lawan tiga.
Related article image
(Gambar: SportSG / Yodsawat Ratanapitaktep)
ENAM PINGAT GANGSA JADI KENANGAN MANIS PASUKAN KABADDI NEGARA

Presiden Persatuan Kabaddi Singapura, Sivanessan Kitnasamy berkata bahawa sasaran enam pingat untuk pasukan lelaki dan wanita negara memang mencabar.

"Namun, kami berjaya mencapainya hasil semangat berpasukan yang kami bawa bersama. Semua berada pada halaman yang sama dengan matlamat yang jelas dan kami berjaya merealisasikannya," ujar Encik Siva.

Pingat gangsa pertama Singapura datang daripada pasukan lelaki dalam format tujuh lawan tujuh pada Sabtu (13 Dis).

Ini selepas mereka menang dua perlawanan dan kalah tiga perlawanan kumpulan sekali gus tidak layak mara ke peringkat akhir.

Naib Kapten pasukan lelaki, Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib berkata: "Ia merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan dan pada masa yang sama mendebarkan. Secara peribadi, itu bukanlah persembahan terbaik saya, namun rakan sepasukan saya bangkit pada detik-detik penting untuk memastikan kami meraih pingat pertama di Sukan SEA pada waktu itu."
Related article image
Muhammad Aidil Asyraaf Abdul Mutalib dalam jersi merah (Gambar: SNOC / Kong Chong Yew)
Encik Siva pula berkata: "Pingat gangsa pertama yang dimenangi merupakan detik yang paling istimewa. Ia merupakan perlawanan pingat gangsa yang penuh dramatik menentang Myanmar, yang mempamerkan semangat juang pasukan Singapura — pasukan yang terus mara dengan penuh semangat dan keazaman walaupun segala-galanya kelihatan tidak memihak kepada kami. Ia membuatkan kami semua — pemain, jurulatih dan penyokong — menitiskan air mata kegembiraan."

Buat Aidil dan juga rakan-rakan sepasukannya, pengalaman di Sukan SEA juga amat bermakna buat mereka.

Pemain pasukan wanita negara, Putri Siti Nur Farhani Shamsuri berkata: "Saya bersyukur diberi peluang untuk mewakili Singapura. Saya merasakan persiapan serta persembahan konsisten saya banyak membantu dalam menghadapi tekanan semasa pertandingan."
Related article image
(Gambar: SportSG / Wanchalerm Sitthidech)
"Saya berasa bangga dapat memenangi pingat gangsa untuk Singapura. Ia mencerminkan segala kerja keras yang dilakukan di sebalik tabir. Pada masa yang sama, kejayaan ini menjadi pemangkin untuk saya terus mencabar diri dan menyasarkan pencapaian yang lebih tinggi dalam pertandingan akan datang," tambah atlet berusia 26 tahun itu.

TIDAK BERJAYA MENUMPASKAN PASUKAN-PASUKAN TIGA NEGARA GERGASI

Sukan itu terus diungguli pasukan negara tuan rumah Thailand, Indonesia dan Malaysia dalam mana-mana kategori.

Ketiga-tiga negara itu dianggap sebagai kuasa besar dalam sukan Kabaddi, lebih-lebih lagi dengan pengalaman lebih 10 tahun dalam sukan itu.

Kekalahan paling besar yang menimpa pasukan lelaki negara adalah dalam kategori tujuh lawan tujuh, selepas kalah dengan pungutan mata 26-66.

Namun, bukan setiap perlawanan menentang ketiga-tiga negara itu mendatangkan kekalahan besar.
Related article image
(Gambar: SportSG / Wanchalerm Sitthidech)
Misalnya, skuad lelaki negara kalah dengan pungutan mata 14-28 menentang pasukan tuan rumah bagi kategori yang sama.

Mereka juga kalah 16-25 bagi kategori tiga lawan tiga.

Encik Siva berkata: "Saya percaya terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan menentang tiga pasukan terkuat. Pengajaran utama ialah kami semakin merapatkan jurang antara kami dan ketiga-tiga pasukan tersebut."

"Pasukan-pasukan ini jelas mengiktiraf persaingan yang kami bawa terhadap kedudukan mereka. Mereka telah merangka taktik dan strategi khusus untuk menentang kami dan ini sendiri menunjukkan tahap rasa hormat mereka terhadap kami di gelanggang," tambah beliau lagi.

Bagi dirinya, ini membuktikan bahawa pasukan Kabaddi Singapura mampu bersaing di pentas besar.

"Ada bisikan bahawa Singapura mungkin menjadi sebahagian daripada “Empat Terbaik” sudah mula kedengaran. Secara keseluruhannya, ini merupakan pengalaman pembelajaran yang amat berharga buat para pemain dan barisan jurulatih dan kami yakin masa untuk kami mengatasi sebahagian daripada pasukan ini semakin hampir," ujar Encik Siva.

Kemenangan pasukan negara semuanya datang daripada perlawanan menentang pasukan-pasukan dari Timor Leste dan Myanmar.

PECAHKAN REKOD-REKOD KEBANGSAAN

Penampilan sulung pasukan negara juga boleh dibanggakan.

Mereka bukan sahaja menerima enam pingat, bahkan dapat memecahkan beberapa rekod kebangsaan dalam beberapa perlawanan.

Misalnya, pasukan lelaki berjaya menang dengan jurang perbezaan mata terbesar dalam perlawanan antarabangsa menentang Timor Leste dengan perbezaan 58 mata.
Related article image
(Gambar: SNOC / Kong Chong Yew)
Pasukan negara memungut 77 mata manakala pihak lawan mendapat 19 mata sahaja.

Jumlah mata serangan tertinggi pula dipecahkan oleh Anbu Navin yang mencatat 17 mata menentang Myanmar.

Pasukan negara menang 55-40 dalam perlawanan tersebut.

Aidil berkata: "Ia merupakan sesuatu yang telah lama kami usahakan. Kami bekerja keras untuk mencapainya dan usaha tersebut jelas terserlah dalam perlawanan menentang Timor Leste."

"Ia membuktikan segala kerja keras yang telah dicurahkan oleh setiap pemain serta pihak persatuan sejak kami memulakan persiapan untuk Sukan SEA setahun lalu. Saya amat berbangga dengan pencapaian pasukan kami," ujar atlet berusia 24 tahun itu.

Encik Siva pula menambah bahawa memecahkan rekod-rekod kebangsaan itu hanyalah satu petunjuk bahawa pasukan negara telah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Related article image
(Gambar: SNOC / Kong Chong Yew)
Beliau berkata: "Walaupun Kabaddi Singapura masih berada di peringkat awal, negara kita tidak pernah kekurangan bakat. Memungut 10 mata bagi penyerang individu dan 5 mata bagi pemain pertahanan dalam satu perlawanan sudah dianggap sebagai pencapaian yang cemerlang. Hakikat bahawa pemain-pemain kami mampu mencapai angka ini secara konsisten menentang lawan yang kuat membuktikan bakat dan kekuatan mereka."

Dengan momentum yang kukuh selepas Sukan SEA 2025, skuad Kabaddi Singapura bukan sahaja meraih pingat tetapi juga pengiktirafan, keyakinan dan visi yang jelas untuk masa hadapan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita