SUKAN SEA 2025: Pasukan Silat SG capai sasaran pingat; akhiri kempen dengan 1 emas, 2 perak dan 2 gangsa
SINGAPURA: Pasukan Silat Singapura mengakhiri kempen Sukan SEA ke-33 di Thailand dengan memungut lima pingat - satu emas, dua perak dan dua gangsa - daripada 12 acara tanding dan seni yang disertai.
Jumlah tersebut melebihi sasaran sebanyak empat pingat yang ditetapkan bagi temasya sukan itu kali ini.
Pengurus pasukan negara, Zuhrah Mohamed Sabri berkata: âSecara keseluruhan, kempen ini sangat positif buat kami. Pasukan kami berjaya melepasi sasaran empat pingat, termasuk meraih satu pingat emas untuk Singapura. Kejayaan ini mencerminkan kerja keras dan komitmen para atlet, serta dedikasi barisan kejurulatihan dan staf sokongan."
Satu-satunya pingat emas Singapura dimenangi oleh Dhani Andika Razali, dalam acara Tanding (Lelaki) kategori bawah 45 kilogram.
Dhani berjaya menumpaskan pesilat dari Indonesia, Khoirudin Mustakim, dengan pungutan mata 41-21.
Perlawanan peringkat akhir di IMPACT Arena itu bermula dengan perlahan buat Dhani.
Beliau ketinggalan 3-5 di pusingan pertama, namun bangkit mengubah rentak perlawanan dengan mendahului 15-9 dalam pusingan kedua.
Dhani melebarkan jurang mata di pusingan ketiga di mana beliau membuat sekurang-kurangnya enam jatuhan ke atas Khoirudin, sekali gus mengumpul 18 mata daripada teknik itu.
Pingat emas yang diraih Dhani sekali gus menebus kedukaan yang dialaminya di Sukan SEA 2023 di Kemboja, selepas terlepas peluang ke peringkat akhir dan membawa pulang pingat gangsa bagi kategori yang sama.
SHEIK FERDOUS TERLEPAS PINGAT EMAS, KALAH PERINGKAT AKHIR
Nasib pula tidak menyebelahi seorang lagi pesilat negara, Sheik Ferdous Sheik Alau'ddin, yang pulang dengan pingat perak.
Beliau dikalahkan pesilat dari Vietnam, Duy Tuyen Nguyen, dengan pungutan mata 5-26 di peringkat akhir kelas I (85-90kg).
Pesilat berusia 29 tahun itu berkata: "Sepanjang perlawanan, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelan permainan saya, sama ada untuk menangkap kakinya atau melancarkan sepakan. Saya memahami keupayaan lawan dan sejak awal lagi hanya berusaha untuk menaikkan pungutan mata."
Sheikh Ferdous juga berkata bahawa beliau tidak kecewa dengan kekalahan di peringkat akhir itu.
"Saya telah memberikan yang terbaik di gelanggang. Perjalanan untuk mara ke perlawanan akhir bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara berlaku sebelum final dan saya tidak pernah sekali pun menyingkirkan diri saya daripada sebarang peluang."
"Saya bersyukur dapat mara ke perlawanan akhir, walaupun mengharapkan untuk pingat emas itu. Apabila kembali ke Singapura, ia kembali kepada rancangan untuk terus memperbaiki diri," kata beliau.
Sheik Ferdous layak ke peringkat akhir selepas mencatat kemenangan tipis 45-42 ke atas pesilat Indonesia di peringkat separuh akhir pada Selasa (16 Dis).
Dalam edisi sebelum ini di Kemboja, beliau juga menerima pingat perak dalam kategori Kelas G (75-80kg).
PINGAT GANGSA BUAT ABDUL RAAZIQ ABDUL RASHID
Dalam kelas G (75-80kg) pula, pesilat negara Abdul Raaziq Abdul Rashid membawa pulang pingat gangsa.
Beliau kalah dengan mata 59-93 di tangan pesilat dari negara tuan rumah Thailand, Bunchit Suthat, di peringkat separuh akhir pada Selasa (16 Dis).
Raaziq berkata: "Saya agak kecewa kerana tidak berjaya mara ke perlawanan akhir, namun saya amat bersyukur dapat meraih pingat Sukan SEA pertama saya. Saya telah memberikan segala-galanya untuk negara dan berharap dapat membanggakan keluarga tersayang."
"Pengalaman ini benar-benar membuka mata saya tentang apa yang berkesan untuk saya ketika berada di bawah tekanan serta aspek yang masih perlu diperbaiki. Melangkah ke depan, saya akan memperhalusi persiapan, menyesuaikan strategi perlawanan berdasarkan maklum balas yang diterima dan menghadapi pertandingan akan datang dengan keyakinan serta keupayaan menyesuaikan diri yang lebih baik," tambah atlet berusia 27 tahun itu.
Seramai sembilan pesilat tanding beraksi di temasya Sukan SEA 2025.
Awal sebelum itu, para pesilat negara juga membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara-acara seni.
"Kami amat gembira dengan pencapaian atlet, keseluruhan pasukan dan juga untuk Singapura. Yang lebih penting, ini merupakan pasukan muda yang memiliki potensi besar dan telah membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat tinggi. Dengan sokongan berterusan daripada Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) dan Institut Sukan Berprestasi tinggi (HPSI), kami yakin kumpulan ini mampu melangkah lebih jauh pada masa akan datang," ujar Cik Zuhrah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.