Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Pasukan Sepak Takraw negara sasar pingat bagi setiap kategori disertai

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pasukan negara sukan Sepak Takraw kini berada di kemuncak latihan menjelang Sukan SEA edisi ke-33 di Thailand minggu depan.

Pasukan itu berharap dapat memperbaiki prestasi pada Sukan SEA lalu dan mendapatkan pingat untuk setiap kategori mereka beraksi.

PASUKAN NEGARA YANG DINAMIK, PENGALAMAN BERBEZA-BEZA, BUKAN SEMUA BERBANGSA MELAYU

Tahun ini, pasukan negara menggabungkan para pemain berpengalaman dengan yang baharu.

Sebagai kapten pasukan, Abdul Hammirruddin Noor, akur akan tanggungjawab mendapatkan persembahan terbaik daripada pasukannya.

Hammirruddin, 25 tahun, berkata: "Kadang-kadang tak semua yang kita cakap atau jurulatih cakap, mereka dapat tangkap ataupun faham. Jadi saya sebagai kapten, saya rasa itu adalah memang tanggungjawab saya. Untuk menolong jurulatih dan juga pemain pasukan saya untuk memberikan tumpuan dan juga persefahaman yang kita ada sebagai satu pasukan."
Abdul Hammirruddin Noor (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Selain para pemain yang mempunyai tahap pengalaman yang berbeza-beza, pasukan negara juga bergantung kepada kemahiran pemain yang bukan berbangsa Melayu.

Pemain posisi Tekong, Tan Kee Ler merupakan satu-satunya pemain berbangsa Cina dalam pasukan negara.

Tan, 21 tahun, berkata: "Pastinya ada stigma untuk seorang berbangsa Cina bermain sukan ini. Saya rasa ia bukanlah normal. Tetapi apabila saya berlatih dengan rakan sepasukan saya, saya tidak rasa janggal lagi. Ia seperti kita bermain sebagai satu pasukan sahaja."

"Saya dapat mengatasi stigma itu dan membuktikan kepada orang ramai, terutama sekali rakan-rakan berbangsa Cina bahawa sesiapa sahaja boleh bermain sukan ini," tambah Tan lagi.
Tan Kee Ler (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Tan juga kini juga agak mahir dalam bahasa Melayu, sekurang-kurangnya untuk mempelajari adat permainan.

Tan berkata: "Saya belajar juga bahasa Melayu. Ada beberapa frasa seperti 'Bola Luar' maknanya bola itu keluar. Ini antara frasa yang sering saya dengar."

Pasukan negara juga bergantung kepada kemahiran Tan yang sudah bermain Sepak Takraw selama hampir 10 tahun untuk mendapatkan pingat di Sukan SEA di Thailand kelak.

Tan disertakan dalam skuad negara bawah 21 tahun, tiga tahun lalu.

"Saya mula bermain Sepak Takraw sejak di sekolah menengah. Saya sebenarnya mahu memasuki CCA bola tampar tetapi tidak berjaya. Saya sebaliknya masuk dalam CCA Sepak Takraw, membuatnya sebagai hobi dan akhirnya mempunyai semangat untuk sukan ini."

"Di peringkat tempatan, saya sudah berjaya mendapat tempat pertama dalam pasukan-pasukan tempatan dan sekolah. Tetapi, sejak memasuki skuad negara, saya belum mengecapi pencapaian besar sejauh ini, jadi saya tidak sabar untuk mencapai sasaran dalam masa akan datang ini," ujar Tan.

PASUKAN SEPAK TAKRAW NEGARA DI KEMUNCAK LATIHAN

Berlatih setiap hari sejak dua minggu lalu, ia genting untuk mengekalkan momentum pasukan.

Ini termasuk menimba pengalaman di pertandingan-pertandingan luar negara.

Hammirruddin berkata: " Saya rasa pendedahan kepada pertandingan antarabangsa amat penting. Jadi kita dapat membiasakan diri kita dalam gelanggang untuk biasakan mental kita."

"Pada bulan September kita beraksi di STL Champions Cup di Negeri Sembilan, Malaysia. Saya rasa amat sukar dan menekankan. Namun, kita tetap memberikan 100 peratus dan saya rasa pasukan-pasukan dari Malaysia juga agak terkejut dengan permainan kita," tambah kapten pasukan itu.

Pasukan negara seramai 17 pemain akan bertanding dalam tiga kategori, Regu, Regu Berpasukan dan Kuadron.

Pasukan Regu lelaki berjaya merangkul pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja pada 2023.

Hammirruddin berkata: "Untuk Sukan SEA tahun ini, saya rasa untuk mendapatkan tempat empat teratas dalam apa-apa acara yang kita akan masuk taklah mustahil, tetapi kita tetap harus berlatih dengan kuat."

"Saya rasa kekuatan kita adalah semangat kita. Walaupun kita tahu kita bukanlah pemain bertaraf dunia kalau dibandingkan dengan pasukan tuan rumah Thailand. Tetapi saya rasa kita selalu mempunyai sasaran yang tinggi. Kita selalu nakkan yang terbaik untuk satu pasukan, dan semangat kitalah yang akan membuat kita terus sama-sama bermain di Sukan SEA nanti," tambah beliau lagi.

Pasukan Sepak Takraw negara akan berangkat ke Thailand pada 8 Disember nanti.

Perlawanan-perlawanan sukan itu akan diadakan di bandar Nakhon Pathom.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita