Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Pasukan Sepak Takraw negara gagal raih pingat dalam Regu Berpasukan, kini fokus kepada acara kuadran, regu

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Pasukan Sepak Takraw negara gagal raih pingat dalam Regu Berpasukan, kini fokus kepada acara kuadran, regu
Skuad sepak takraw Singapura di Sukan SEA Thailand (Gambar: Pasukan Sepak Takraw Singapura)
THAILAND: Skuad sepak takraw lelaki Singapura gagal layak ke peringkat kalah mati bagi kategori Regu Berpasukan.

Ia sekali gus bermakna skuad negara terlepas peluang menggenggam pingat bagi kategori tersebut, selepas mereka mengalami dua kekalahan berturut-turut.

Singapura kalah di tangan seteru gergasi Malaysia dengan mata 0-3 pada Rabu (10 Dis) dan seterusnya dikalahkan oleh pasukan dari Myanmar dengan mata yang sama.

Kapten pasukan, Abdul Hammirruddin Noor berkata: "Ia merupakan pertandingan yang mencabar tetapi sangat bermakna bagi kami. Berdepan dengan pasukan hebat seperti Malaysia benar-benar menguji kemampuan kami, dan walaupun keputusannya tidak seperti yang kami harapkan, kami tetap bangga dengan semangat juang yang kami tunjukkan.
Related article image
Kapten pasukan, Abdul Hammirruddin Noor (Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
"Perlawanan menentang Myanmar pula adalah yang paling sukar untuk diterima. Ia benar-benar terasa seperti nasib tidak menyebelahi kami — perlawanan yang ditentukan oleh perbezaan tipis di mana satu detik sahaja boleh mengubah segalanya. Kami percaya kami mampu menang, dan itulah yang membuatkan kekalahan itu lebih memeritkan," tambah atlet berusia 25 tahun itu.

Meski sudah tersingkir, skuad negara masih ada baki satu lagi perlawanan menentang pasukan Filipina pada Sabtu (13 Dis).

Apapun hasil daripada perlawanan itu tidak akan mengubah kedudukan kedua-dua pasukan yang akan mengakhiri peringkat kumpulan di kedudukan kedua terbawah.

Pasukan Myanmar dan Malaysia dari Kumpulan A akan mara ke peringkat separuh akhir.
Related article image
(Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
Selepas terlepas peluang mendapat sebarang pingat dalam acara Regu Berpasukan, skuad negara kini perlu beralih tumpuan kepada acara Regu dan Kuadran.

Hammirruddin berkata: "Untuk acara Kuadran dan Regu, pasukan kami kini memberikan tumpuan penuh untuk bangkit semula. Kami mengambil iktibar daripada perlawanan terdahulu dan menjadikannya sebagai satu dorongan."

"Untuk acara Kuadran, kami memperkemaskan lagi koordinasi. Untuk acara Regu, kami membawa tenaga baharu, ketangkasan dan ketenangan. Kami bertekad untuk menunjukkan kemampuan sebenar kami dan berjuang bagi setiap mata," tambah beliau lagi.
Related article image
(Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
Namun, para pemain sepak takraw negara berdepan cabaran besar bagi acara-acara tersebut juga.

Dalam acara regu, Singapura berada dalam Kumpulan B dan akan menentang Indonesia dan pasukan tuan rumah, Thailand.

Bagi acara kuadran, Singapura pula diletakkan dalam Kumpulan B bersama Malaysia, Laos, Brunei dan Vietnam.
Related article image
(Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
"Kami tahu kami perlu kekal fokus pada matlamat kami, meningkatkan prestasi dalam setiap perlawanan, bersaing dengan lebih rapat, dan memanfaatkan setiap peluang yang ada. Apa yang penting sekarang ialah kekal bersatu, berdisiplin, dan bersemangat tinggi. Itulah cara untuk kami terus maju, dan itulah cara kami akan terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik," jelas Hammirruddin.

Perlawanan acara Kuadran akan bermula pada Isnin depan (15 Dis) manakala perlawanan acara Regu dijadualkan bermula pada 19 Disember.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita