Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Loh Kean Yew mara ke peringkat seterusnya, 3 pemain perseorangan SG tersingkir

Bekas jaguh badminton dunia Loh Kean Yew merupakan satu-satunya atlet Singapura yang masih bersaing bagi mendapatkan pingat dalam acara perseorangan badminton Sukan SEA selepas tiga rakan sepasukannya tersingkir dalam pusingan pembukaan pada Khamis (11 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Loh Kean Yew mara ke peringkat seterusnya, 3 pemain perseorangan SG tersingkir
Pemain badminton Loh Kean Yew. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Bekas jaguh badminton dunia Loh Kean Yew merupakan satu-satunya atlet Singapura yang masih bersaing bagi mendapatkan pingat dalam acara perseorangan badminton Sukan SEA selepas tiga rakan sepasukannya tersingkir dalam pusingan pembukaan pada Khamis (11 Dis).

Di Gimnasium 4 Universiti Thammasat di Pathum Thani, Loh terpaksa berusaha gigih bagi meraih kemenangan ke atas pemain Filipina, Jewel Angelo Albo.

Namun pemain nombor 10 dunia itu meneruskan permainan dengan penuh rasa tenang dan meraih kemenangan 21-17, 21-19 ke atas Albo, yang berada di tangga ke-214 dalam ranking pemain badminton terbaik di dunia.

Seterusnya, Loh akan menentang pemain dari Indonesia, Zaki Ubaidillah.

Beliau bagaimanapun tidak akan disertai oleh pemain nombor 21 dunia dan pilihan ketiga bagi acara perseorangan lelaki, Jason Teh.

Ini kerana Teh mengalami kekalahan mengejut di tangan pemain Malaysia, Justin Hoh yang berada di tangga ke-38 dengan keputusan 20-22, 15-21 dalam masa 50 minit.

Kedua-dua pemain Singapura dalam acara perseorangan wanita juga ditewaskan oleh pesaing mereka dari Malaysia yang berada di kedudukan lebih tinggi.

Pemain nombor 150 dunia, Insyirah Khan, kalah 16-21, 15-21 kepada pemain Malaysia, Wong Ling Ching yang berada di tangga ke-46 dunia, manakala pemain nombor 192 dunia, Jaslyn Hooi, kalah 17-21, 20-22 kepada pemain nombor 43 dunia, K Letshanaa.

Singapura juga tidak mendapat kelebihan daripada pemain nombor 18 dunia, Yeo Jia Min, selepas ia diumumkan pada Rabu bahawa beliau belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang baru-baru ini dan tidak akan beraksi dalam acara perseorangan.

Yeo, yang merupakan salah seorang pembawa bendera Singapura di upacara pembukaan Sukan SEA pada Selasa, juga tidak tampil dalam acara berpasukan.

Terdahulu dalam temasya Sukan SEA, pasukan wanita dan lelaki Singapura meraih pingat gangsa.

Dalam temasya Sukan SEA di Kemboja sebelum ini, pemain badminton Singapura membawa pulang tiga pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki, berpasukan wanita dan beregu lelaki.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita