Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: Atlet lompat pagar SG kekal positif meski rekod kebangsaan dibatalkan akibat masalah teknikal

Tidak lama selepas atlet lompat pagar Singapura, Kerstin Ong, melintasi garisan penamat bagi perlumbaan saringan acara 100 meter lompat pagar wanita di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) pada Jumaat (12 Dis) dengan catatan masa 13.47 saat, beliau tahu ada sesuatu yang tidak kena.
Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Atlet lompat pagar SG kekal positif meski rekod kebangsaan dibatalkan akibat masalah teknikal
Ang Chen Xiang dan Kerstin Ong dari Singapura beraksi pada Sukan SEA ke-33 di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, pada 12 Disember 2025. (Gambar: SportSG/Jeremy Lee)
BANGKOK: Tidak lama selepas atlet lompat pagar Singapura, Kerstin Ong, melintasi garisan penamat bagi perlumbaan saringan acara 100 meter lompat pagar wanita di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) pada Jumaat (12 Dis) dengan catatan masa 13.47 saat, beliau tahu ada sesuatu yang tidak kena.

“Semua orang mengucapkan tahniah kepada saya … tetapi saya pula berfikir: ‘Tak mungkin saya berlari sepantas itu,’” kata atlet yang membuat penampilan sulungnya di Sukan SEA itu kepada Mediacorp sehari selepas acara tersebut. Rekod kebangsaannya ialah 13.86 saat.

Beberapa jam kemudian pada petang yang sama, Ong kembali ke trek. Kali ini, beliau mencatat masa 13.85 saat, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dalam perlumbaan akhir.

Namun, kedua-dua catatan masa Ong itu tidak akan diiktiraf sebagai rekod kebangsaan selepas masalah teknikal dilaporkan berlaku di Stadium Nasional Supachalasai.

“Kami telah dimaklumkan oleh Asian Athletics bahawa masalah teknikal pada sistem masa telah menjejaskan integriti statistik untuk keputusan bagi sesi petang pada 12 Disember 2025,” kata seorang jurucakap Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC).

“Walaupun kedudukan atlet kekal sah, catatan masa mereka tidak boleh diiktiraf bagi tujuan statistik.”

Ini bermakna catatan masa Ong serta pelari lompay berpagar lelaki 110 meter, Ang Chen Xiang, yang juga mencatat rekod kebangsaan dalam perlumbaan akhir acara tersebut, tidak akan dikekalkan.

Walaupun beliau merasakan bahawa masa yang dicatatkannya dalam perlumbaan akhir adalah tepat, Ong berkata dirinya sudah menerima keputusan akhir tersebut.

“Jika ia tidak boleh diiktiraf, maka kita perlu menerimanya,” kata Ong. “Ia memang malang, tetapi ini bermakna saya perlu berlari dengan lebih pantas.”

“Kami tahu usaha telah dicurahkan, dan tubuh badan sendiri tahu bila ia mencatat masa yang pantas. Kami menantikan peluang untuk (membina) prestasi daripada Sukan SEA ini, dan satu-satunya arah ialah ke hadapan,” tambah Ang, yang mencatat masa 13.75 saat untuk meraih pingat perak.

Rekod kebangsaan semasa Ang ialah 13.77 saat.

Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada pengurus pasukan daripada Asian Athletics yang dilihat Mediacorp, badan itu menyatakan bahawa ia sudah menubuhkan satu “jawatankuasa siasatan” susulan “masalah-masalah” yang timbul sepanjang kejohanan tersebut.

Selepas perbincangan terperinci dengan perwakilan teknikal, hakim foto penamat antarabangsa dan pengarah pertandingan jawatankuasa penganjur tempatan, ia didapati bahawa “gangguan utama” berpunca daripada isu bekalan kuasa dan internet. Pada masa yang sama, syarikat yang bertanggungjawab ke atas sistem masa dan pemarkahan juga tidak memenuhi keperluan berdasarkan piawaian yang ditetapkan.

Menurut Asian Athletics, sesi pagi pada Jumaat serta kedua-dua sesi pada Khamis tidak terjejas oleh masalah tersebut.

Badan itu turut menambah bahawa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) perlu mengambil “langkah berjaga-jaga yang sewajarnya” bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.

Dalam sepucuk surat bertarikh Jumaat yang dilihat Mediacorp, SNOC meminta agar satu kenyataan rasmi daripada SEAGF untuk menangani isu teknikal berkenaan dikeluarkan. Setiausaha Agung SNOC, Mark Chay, turut menggesa SEAGF supaya “menyemak dan memperkukuhkan” protokol sistem teknikalnya bagi mengelakkan kejadian sedemikian daripada berulang.

“Bagi saya, mudah sahaja bahawa (Tuhan) mempunyai rancangan dan tujuan untuk saya, dan jika ia bukan masa saya, maka ia bukan masa saya. Dan saya menerimanya dengan sepenuhnya,” kata Ang. “Saya tidak boleh mengawal perkara-perkara ini.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita