SUKAN SEA 2025: Atlet e-sukan Thailand disingkir kerana menipu dalam perlawanan
Petikan skrin video dimuat naik pada 16 Dis 2025 memaparkan atlet e-sukan Thailand Naphat Warasin semasa perlawanan Arena of Valor di Sukan SEA 2025. (Imej: TikTok/phfeelsig)
Naphat, yang dikenali dalam masyarakat permainan video Thailand sebagai 'Tokyogurl', melakukan kesalahan itu semasa satu perlawanan berpasukan antara Thailand dengan Vietnam pada Isnin (15 Dis).
Atlet berusia 24 tahun itu menggunakan "pengubahsuaian hadwe atau sofwe pihak ketiga tanpa kebenaran" semasa pusingan pertama perlawanan, menurut delegasi teknikal e-sukan Sukan SEA dalam surat yang dimuat naik ke Facebook dan ditujukan kepada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand pada Isnin.
Ia menambah bukti kukuh ditemui selepas siasatan lanjut, menyebabkannya disingkirkan daripada perlawanan e-sukan itu dan keputusannya adalah muktamad.
Naphat sebelum ini dikecam oleh para netizen semasa perlawanan itu kerana menunjukkan isyarat lucah semasa penstriman langsung.
Dalam satu kenyataan Facebook pada Selasa, Persekutuan Esukan Thailand (TESF) menyatakan ia menerima keputusan dan menekankan peri penting permainan secara adil.
Persekutuan itu menambah ia akan menjalankan siasatan dalaman, dan memperbaiki piawaian teknikal dan etika yang dijangkakan oleh para atlet e-sukan negara itu bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Media Thailand juga melaporkan penerbit permainan Garena mengenakan larangan penyertaan dalam Sukan SEA seumur hidup terhadap Naphat, manakala agensi bakatnya menamatkan kontraknya.
Seluruh pasukan Arena of Valor wanita Thailand kemudian menarik diri daripada temasya itu untuk menunjukkan akauntabiliti, tambah media tempatan.
Naphat turut memadamkan akaun TikTok dan Facebooknya selepas disingkirkan daripada temasya sukan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.