Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: 10 acara dipindahkan ke Bangkok selepas Songkhla dilanda banjir

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: 10 acara dipindahkan ke Bangkok selepas Songkhla dilanda banjir
Kenderaan terperangkap dalam banjir di Hat Yai di wilayah Songkhla, selatan Thailand. (Gambar: AFP/Arnun Chonmahatrakool/THAI NEWS PIX)
Diterbitkan : 28 Nov 2025 05:15PM Dikemas Kini : 08 Dec 2025 11:37AM
SINGAPURA: Beberapa acara Sukan SEA ke-33 akan dipindahkan ke Bangkok selepas banjir buruk selama beberapa hari melanda wilayah Songkhla, selatan Thailand.

Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-33 pada Khamis (27 Nov) meluluskan perubahan tempat akibat banjir, yang menyebabkan "kerosakan dan menjejaskan kesiapsiagaan". Songkhla telah ditetapkan untuk menjadi tuan rumah acara pelbagai sukan dwitahunan itu dari 9 hingga 20 Dis, bersama-sama Bangkok dan Chonburi.

Tempat pertandingan untuk 10 sukan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Hat Yai dan Mueang Songkhla, kini akan diadakan di Bangkok.

Acara-acara sukan itu adalah: Muay (tinju), pusingan kelayakan bola sepak lelaki, catur, kabaddi, wushu, pencak silat, judo, petanque, karate, biliard dan snuker. Gusti juga akan dipindahkan ke Chonburi.

"Jawatankuasa penganjur menekankan bahawa perubahan dan penyesuaian ini dibuat untuk memastikan keselamatan atlet, pegawai dan penonton, serta untuk melindungi piawai antarabangsa Sukan SEA," menurut satu kenyataan di Facebook.

"Jawatankuasa Penganjur menegaskan bahawa meskipun terdapat perubahan tempat, Thailand tetap komited sepenuhnya untuk menganjurkan Sukan SEA ke-33 yang cekap, diuruskan dengan baik dan bertaraf dunia, sekali gus mengukuhkan keyakinan semua negara peserta."

Seorang jurucakap kerajaan berkata bahawa kematian berkaitan banjir di Songkhla meningkat daripada enam kepada 55 orang pada Khamis, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di tujuh wilayah kepada sekurang-kurangnya 82 orang.

Banjir dahsyat telah melanda selatan Thailand minggu ini, terutamanya di Hat Yai, berhampiran sempadan dengan Malaysia, di mana kawasan yang luas ditenggelami air, mendorong para penduduk untuk mencari perlindungan di atas bumbung.

Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) Grace Fu berkata bahawa Majlis Olimpik Singapura menyokong keputusan Thailand untuk memindahkan acara-acara dari Songkhla.

Dalam catatannya di Facebook pada Jumaat (28 Nov), Cik Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran berkata majlis itu mengiktiraf cabaran yang dihadapi oleh penganjur Sukan SEA ke-33, dan memuji “penganjur dan pihak berkuasa Thailand atas usaha mereka mencari penyelesaian alternatif untuk atlet dan pegawai kami”.

“Ingatan kami bersama penduduk Hat Yai dan wilayah Songkhla yang terjejas akibat banjir.

“Kami yakin bahawa, bersama-sama, keluarga Sukan SEA akan mengatasi tempoh sukar ini dengan daya tahan dan perpaduan.”

Beliau menambah bahawa Team Singapore akan terus bersedia dan menyesuaikan diri mengikut keperluan, dan SNOC akan menyokong sepenuhnya atlet dan pegawai daripada sukan yang terjejas sedang mereka “menyesuaikan diri dengan perubahan”.

“Kami tetap berterima kasih kepada Thailand atas komitmen berterusan mereka untuk menganjurkan Sukan SEA dalam keadaan yang mencabar.”

Singapura menghantar kontinjen terbesarnya ke Sukan SEA, dengan 930 atlet bersedia untuk bertanding dalam 48 sukan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita