Skip to main content

Sukan

SUKAN SEA 2025: 1 perak, 1 gangsa buat pesilat seni SG

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: 1 perak, 1 gangsa buat pesilat seni SG
(Dari kanan) Muhammad Nazrul Mohd Kamal, Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Affiz Mohamed Zakri (Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
THAILAND: Mendapatkan pingat emas di Sukan SEA Thailand mungkin memerlukan persembahan terbaik daripada pasukan Regu Lelaki negara di peringkat akhir.

Manakan tidak, trio Muhammad Nazrul Mohd Kamal, Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Affiz Mohamed Zakri bertemu dengan pasukan dari Indonesia yang mencatatkan 9.960 mata di kedua-dua peringkat suku dan separuh akhir.

Markah itu tidak dapat dikecapi mana-mana pasukan lain sepanjang kempen Sukan SEA Thailand.

Namun, regu lelaki percaya pada diri mereka sendiri dan tidak luntur semangat untuk mencabar juara bertahan Sukan SEA itu.

Mustafar berkata: "Ia sentiasa menjadi impian kami untuk bersaing dengan yang terbaik. Mereka ialah juara Sukan SEA dan juara dunia ketika ini. Bertemu dengan mereka adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan pada mana-mana peringkat pertandingan ini."

Namun, persembahan peringkat akhir regu Indonesia ternyata terlalu gagah, selepas mencatatkan 9.965, memperbaiki persembahan mereka di peringkat-peringkat sebelumnya.

Regu Singapura pula memungut 9.935 mata, sekali gus mendapat tempat kedua dan meraih pingat perak.
Related article image
(Dari kanan) Muhammad Nazrul Mohd Kamal, Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Affiz Mohamed Zakri (Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)

"Bagi saya, yang penting bukanlah tentang keputusan. Saya percaya rakan sepasukan saya telah memberikan yang terbaik sepanjang perjalanan hingga ke perlawanan akhir," ujar Mustafar.

Meskipun hanya setapak lagi ke pingat emas, namun, pasukan regu lelaki negara tetap bersyukur dengan pingat perak yang diraih.

Mustafar berkata: "Ini rezeki yang kita dapat, saya harap yang perak ini akan memberi kami motivasi untuk Kejohanan Dunia tahun depan dan Sukan SEA 2027."

Affiz pula menambah: "Saya berasa sangat teruja dan bahagia, dapat membina dan dapat mencapai pingat perak di Sukan SEA tahun ini. Ini peluang sangat baik untuk kami membuktikan kerja keras yang kami lalui menjelang Sukan SEA ini."

Trio negara itu sebelum itu menundukkan pesaing dari negara Filipina dengan mata 9.940 - 9.930 di peringkat separuh akhir pada Ahad pagi (14 Dis) di gelanggang Impact Arena.

Related article image
(Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
Kali terakhir Singapura menjuarai acara Regu lelaki adalah di Sukan SEA 2019 di Filipina.

Nazrul menjadi antara anggota pasukan regu negara waktu itu.

Beliau menjelaskan bahawa meski tidak dapat membawa pulang pingat emas kali ini, beliau tetap bangga dengan pasukannya di Sukan SEA kali ini.

Nazrul berkata: "Ia sangat membanggakan bahawa kami telah melalui perjalanan yang begitu panjang. Saya menikmati proses tersebut. Mereka ialah individu yang paling rajin bekerja. Kami telah menghadapi banyak cabaran."

"Walaupun kami tidak mempunyai kelebihan semula jadi berbanding pihak lawan, kami tetap berjaya mara ke perlawanan akhir. Jika dibandingkan dengan pasukan 2019 yang sangat berbakat, tetapi rakan sepasukan saya kali ini, mereka benar-benar bekerja keras," tambah beliau lagi.

PINGAT GANGSA BUAT NURIN INSYIRAH

Dalam pada itu, nasib tidak berpihak kepada pesilat tunggal puteri, Nurin Insyirah Mohamed Aidil yang pulang dengan pingat gangsa di Sukan SEA Thailand.
Related article image
(Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)

Atlet berusia 21 tahun itu dikalahkan pesilat dari Brunei Darussalam, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan dengan mata 9.915 - 9.945.

Mata yang diraih Nurin semasa peringkat separuh akhir juga kurang sedikit berbanding persembahannya di peringkat suku akhir di mana beliau memungut 9.930 mata.

Related article image
(Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
"Saya percaya bahawa Sukan SEA ini hanyalah permulaan dan sebagai atlet yang membuat penampilan sulung, saya sanggup berusaha dan berlatih dengan lebih keras untuk kejohanan-kejohanan akan datang. Saya telah belajar memahami kekuatan diri dan berusaha menggunakannya untuk mengatasi kelemahan saya dengan lebih baik," kata Nurin.

PARA PESILAT TANDING TERLEPAS PELUANG KECAPI PINGAT

Dua pesilat negara lelaki turut beraksi di gelanggang di peringkat suku akhir pada Ahad (14 Dis).

Namun kedua-dua pesilat Aniq Asri Mohammad Yazid dikalahkan pesilat dari Indonesia, Muhammad Zaki Zikrillah Prasong dalam kelas 'C' (55-60 kilogram).
Related article image
Aniq Asri Mohammad Yazid (kiri) (Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
Ahmad Hanin Abdul Rahim pula tidak dapat mara ke separuh akhir kelas 'D' (60-65 kilogram) selepas kalah 11-15 di tangan pesilat dari Vietnam Nguyen Minh Triet.
Related article image
Ahmad Hanin Abdul Rahim (kanan) (Gambar: SportSG / Dejbordin Limsupanark)
Lagi tujuh pesilat tanding akan membuat penampilan mereka di peringkat suku akhir pada Isnin (15 Dis).
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita