Skip to main content

Sukan

Sukan SEA 2023: Loh Kean Yew tumpas di tangan pemain Indonesia; pasukan lelaki & wanita SG menang gangsa

Anggaran Waktu Membaca:
PHNOM PENH: Nasib yang amat berbeza menimpa pemain badminton perseorangan lelaki dan wanita terbaik Singapura, pada Rabu (10 Mei). Namun, kedua-dua pasukan lelaki dan wanita badminton akhirnya tamat dengan berjaya merangkul pingat gangsa Sukan Asia Tenggara (SEA) yang ke-32.

Keputusan tersebut sekali gus bermakna prestasi kedua-dua pasukan tersebut bagi Sukan Sea kali ini menyamai prestasi di Hanoi.

Dalam perlawanan mendebarkan di Dewan Badminton Stadium Kebangsaan Morodok Techo di ibu kota Kemboja, pemain Indonesia Chico Aura Dwi Wardoyo menumpaskan pemain Singapura yang menduduki tangga ke-4 di dunia Loh Kean Yew, dalam perlawanan pembukaan pasukan lelaki di pusingan separuh akhir.

Pemain nombor 19 di dunia itu mencatat kemenangan 10-21, 21-7, 24-22. Ia juga merupakan kekalahan kedua Loh di tangan Wardoyo untuk tahun ini.

Pasangan Loh Kean Hean dan Terry Hee (yang menduduki tangga 61 di dunia) memberi tentangan hebat kepada pasangan nombor 14 di dunia Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana, tetapi kecundang 21-15, 21-17.

Jason Teh pula berjaya mendapatkan satu mata bagi Singapura setelah mengatasi Christian Adinata 21-15, 12-21, 21-14.

Meskipun pemain muda Nge Joo Jie dan Johann Prajogo bermain dengan penuh bersemangat, mereka tidak mampu mengatasi lawan dari Indonesia Pramudya Kusumawardana dan Yeremia Rambitan.

Dalam pusingan separuh akhir pasukan wanita pula, pemain nombor 34 di dunia Yeo Jia Min menumpaskan pemain nombor 23 di dunia mencatat kemenangan bergaya ke atas lawannya dari Thailand, Lalinrat Chaiwan dengan mata 21-15, 21-6.

Namun, juara bertahan acara tersebut berjaya bangkit dan menang tiga perlawanan seterusnya, 3-1.

Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai mengalahkan Jin Yu Jia dan Crystal Wong 12-21, 21-9, 21-14, sementara Insyirah Khan kecundang di tangan Supanida Katethong 21-11, 21-8.

Benyapa dan Nuntakarn Aimsaard mengesahkan kemenangan keseluruhan yang berpihak kepada Thailand setelah membenam Heng Xiao En dan Elsa Lai 21-6, 21-7.

Anda boleh ikuti liputan Sukan SEA ke-32 di Kemboja secara langsung di tiga saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/seagames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita