Skip to main content

Sukan

Sukan SEA 2023: ISTAF akan perkenal kamera badan; pastikan keputusan telus dan tiada berat sebelah

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan SEA 2023: ISTAF akan perkenal kamera badan; pastikan keputusan telus dan tiada berat sebelah

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 13 May 2023 05:02PM Dikemas Kini : 13 May 2023 05:52PM
PHNOM PENH: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) buat julung-julung kalinya akan memperkenalkan penggunaan kamera badan kepada pengadil bagi memastikan keputusan setiap pertandingan dibuat dengan telus dan tiada berat sebelah.

Setiausaha Agung ISTAF Abdul Halim Kader berkata langkah itu juga adalah untuk menunjukkan bahawa pengadil yang diberi tanggungjawab mengadili setiap kejohanan melaksanakan tugas mereka dengan berintegriti.

“Kita perkenalkan kamera badan untuk meningkatkan tahap pelaksanaan dan perjalanan sepak takraw dipandang di mata dunia iaitu satu sukan yang telus dan mempunyai integriti dalam membuat keputusan dalam setiap kejohanan.

“Ia juga memberi ruang kepada ISTAF untuk mengawasi secara dekat setiap pengadil yang diberikan tanggungjawab mengadili perlawanan di peringkat dunia, Sukan Asia dan Sukan SEA menjalankan tugas dengan jujur dan amanah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata penggunaan kamera badan itu juga sebagai langkah transformasi yang dilakukan oleh badan induk sepak takraw itu bagi mendapatkan pengiktirafan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) supaya sukan berkenaan disenaraikan dalam Sukan Olimpik pada masa akan datang.

Sehubungan itu, Encik Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) berkata pihaknya akan mengemas kini pentadbiran, pelaksanaan dan perjalanan ISTAF dalam perkara berkaitan etika dan integriti.

Bagi tujuan itu, beliau berkata ASTAF melantik mantan presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Abdul Karim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Integriti ASTAF bagi memastikan imej ISTAF sebagai sebuah pertubuhan sukan antarabangsa diangkat setaraf dengan persatuan-persatuan sukan Olimpik yang lain.

“Kita mahu mengambil langkah-langkah dalam mengekang isu seperti rasuah, pilih kasih dalam kalangan pengadil yang mengadili pertandingan walaupun perkara ini belum terjadi,” katanya.

Beliau berkata sebagai percubaan, penggunaan kamera badan itu dilaksanakan ketika acara berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 antara Malaysia dan Thailand.

“Insya-Allah kita akan gunakan sepenuhnya kamera badan ini pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand yang akan berlangsung di Korat dari 9 hingga 16 Julai depan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan penggunaan kamera badan itu akan diperluas kepada penjaga garisan yang dapat memberi sudut pandang lebih ideal dalam membuat keputusan.

Sementara itu, beliau berkata ISTAF akan terus menggunakan “challenge camera” pada Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai untuk melihat semula kedudukan bola sama ada keluar atau masuk menerusi rakaman video bagi memastikan keputusan perlawanan dibuat dengan tepat.

“Kita dapati semasa perlawanan antara Malaysia dan Thailand (dua hari lepas), daripada 20 challenge diminta (dalam menentukan kedudukan bola), 10 daripadanya ialah reverse decision atau keputusan yang tepat atau sebaliknya,” kata beliau.

Anda boleh ikuti liputan Sukan SEA ke-32 di Kemboja secara langsung di tiga saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/seagames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : Bernama/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita