SUKAN PARA ASIA 2026: Toh Wei Soong rangkul pingat perak bagi acara 100m kuak lentang S7
Perenang Toh Wei Soong terpaksa menunggu lebih lama untuk meraih pingat emas pertamanya di Sukan Para Asia 2026 selepas meraih tempat kedua dalam pusingan akhir 100 meter kuak lentang lelaki kategori S7 pada Khamis (22 Okt).
Toh Wei Soong di Sukan Para Asia 2026. (Gambar: SNPC/Dyan Tjhia)
- Di Sukan Para Asia 2026 di Gimnasium Umum Nagoya City pada Khamis, perenang Singapura Toh Wei Soong meraih perak dalam 100 meter kuak lentang S7 dengan masa 1:16.09.
- Ruan Jingsong dari China memenangi emas dengan rekod temasya 1:12.16, manakala Tejas Nandakumar dari India mendapat gangsa; Toh kini mengumpul satu perak dan tiga gangsa dalam temasya ini.
- Toh, yang pernah memenangi tiga emas di edisi Hangzhou dan dua emas pada 2018, akan bertanding dalam 50 meter gaya bebas S7 pada Jumaat, peluang terakhirnya untuk meraih emas dan menambah koleksi 11 pingat Para Asia.
- Wong Zhi Wei, Sophie Soon dan Danielle Moi mencatat rekod nasional baharu, sementara kontinjen Singapura mengumpul empat perak serta lima gangsa dengan dua hari pertandingan berbaki.
Di Gimnasium Umum Nagoya City, juara bertahan berusia 28 tahun itu mencatat masa 1 minit 16.09 saat, sekali gus meraih pingat perak. Perenang China, Ruan Jingsong, meraih pingat emas dengan mencipta rekod baharu di temasya tersebut, iaitu dengan catatan masa 1 minit 12.16 saat.
Tejas Nandakumar dari India membawa pulang pingat gangsa dengan catatan masa 1 minit 18.58 saat.
Toh kini sudah meraih satu pingat perak dan tiga gangsa dalam temasya kali ini. Beliau menduduki tempat ketiga dalam acara 400 meter gaya bebas S7 pada Isnin, 100 meter gaya bebas S7 pada Selasa dan 50 meter kuak kupu-kupu S7 pada Rabu.
Beliau akan bertanding dalam acara 50 meter gaya bebas S7 pada Jumaat, yang merupakan peluang terakhirnya untuk membawa pulang pingat emas.
Dengan pencapaian terbaharunya itu, Toh kini sudah mengumpul sebanyak 11 pingat sepanjang penyertaannya dalam Sukan Para Asia.
Pada edisi lalu di Hangzhou, perenang Singapura itu memenangi acara 50 meter kuak kupu-kupu S7, 50 meter gaya bebas S7 dan 100 meter kuak lentang S7, selain meraih pingat perak dalam acara 400 meter gaya bebas S7. Beliau turut memenangi dua pingat emas dan satu gangsa pada temasya 2018.
Rekod nasional baharu turut dicatatkan pada Khamis oleh Wong Zhi Wei dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki S13 dan Sophie Soon dalam acara 50 meter gaya bebas wanita S13, masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam dalam perlumbaan akhir mereka.
Danielle Moi juga mencipta rekod nasional baharu dalam pusingan saringan acara 100 meter kuak kupu-kupu wanita S14 pada awal Khamis.
Kontinjen Singapura kini sudah meraih empat pingat perak dan lima gangsa di temasya tersebut, dengan baki dua hari pertandingan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.