Skip to main content

Sukan

SUKAN PARA ASIA 2026: 4 anak Melayu antara 20 atlet Team SG bakal bertanding

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN PARA ASIA 2026: 4 anak Melayu antara 20 atlet Team SG bakal bertanding

Dari kiri: Presiden Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) Teo-Koh Sock Miang, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo, atlet olahraga para Team Singapore James Ethan Ang dan Ketua Kontinjen Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 Low See Lien. (Gambar: SNPC/Dyan Tjhia)

Diterbitkan : 12 Sep 2026 04:43PM
SINGAPURA: Singapura akan menghantar 20 atlet untuk bertanding dalam sembilan jenis sukan di Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada Oktober.

Mereka akan bertanding dalam acara memanah, olahraga, badminton, boccia, berbasikal (jalan raya), judo, renang, menembak dan tenis meja.

Lapan daripada mereka akan membuat penampilan sulung di Sukan Para Asia, umum Majlis Paralimpik Kebangsaan Singapura (SNPC) pada Sabtu (12 Sep).

Antara mereka termasuk atlet yang pernah menyertai temasya itu tetapi kali ini akan membuat penampilan sulung dalam sukan berbeza.

Bekas atlet sukan layar Paralimpik Jovin Tan, 40 tahun, akan bertanding dalam boccia, manakala bekas perenang Paralimpik Theresa Goh, 39 tahun, akan memburu pingat dalam acara menembak.

SENARAI ATLET WAKILI SG DI SUKAN PARA ASIA

Seramai 20 atlet akan mewakili Singapura dalam sembilan jenis sukan:

- Nur Syahidah Alim (memanah)

- James Ethan Ang (olahraga)

- Muhammad Diroy Noordin (olahraga)

- Tay Wei Ming (badminton)

- Jovin Tan (boccia)

- Jeralyn Tan (boccia)

- Aloysius Gan (boccia)

- Nurulasyiqah Mohammad Taha (boccia)

- Tan Cheng Jui (berbasikal - jalan raya)

- Muhammad Nur Amsyar Abdemanaf (berbasikal - jalan raya)

- Sebastian Adrian Tan (berbasikal - jalan raya)

- Joan Hung (judo)

- Sophie Soon (renang)

- Toh Wei Soong (renang)

- Wong Zhi Wei (renang)

- Danielle Moi (renang)

- Theresa Goh (menembak para)

- Chan Han Siong (menembak)

- Surya Mohan Jha (menembak)

- Rodrick Li (tenis meja)

Atlet olahraga James Ethan Ang, 25 tahun, diumumkan sebagai pembawa bendera Singapura bagi upacara perasmian.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia David Neo menyerahkan bendera Singapura kepada Ketua Kontinjen Team Singapore, Low See Lien, dalam satu upacara di Taman di Pesisiran pada Sabtu (12 Sep).

Encik Low, yang juga Naib Presiden SNPC, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Kontinjen di Sukan Para ASEAN 2022 di Solo, Indonesia.

“Adalah satu penghormatan untuk memimpin Team Singapore ke Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026,” katanya.

“Para atlet kami menunjukkan komitmen dan dedikasi yang amat tinggi dalam membuat persiapan bagi temasya ini dan tumpuan kami sekarang adalah untuk memastikan setiap atlet dan pegawai pasukan bersedia menghadapi cabaran yang menanti.”

Beliau menambah bahawa pasukan itu tidak sabar untuk memberikan sokongan kepada para atlet ketika mereka bersaing dengan atlet terbaik Asia, selain menggesa rakyat Singapura untuk memberikan sokongan kepada mereka.

Encik Ang berkata beliau berbesar hati untuk mengangkat bendera Singapura di upacara pembukaan.

“Bagi saya, ia mewakili seluruh Kontinjen Team Singapore dan saya bangga berdiri bersama rakan-rakan atlet sedang kami memberikan yang terbaik untuk Singapura,” katanya lagi.

Edisi kelima Sukan Para Asia akan berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober, menghimpunkan kira-kira 3,000 atlet dari seluruh Asia untuk bertanding dalam 18 jenis sukan.
 
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita