Skip to main content

Sukan

SUKAN PARA ASEAN 2025: Atlet 'powerlifting' Mohamed Syukur buat penampilan sulung, dapat bimbingan atlet 'senior'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sesi latihan buat atlet paralimpik angkat berat, Mohamed Syukur Mohamed pada Jumaat (28 Nov) berubah menjadi satu detik istimewa dengan satu kejutan oleh Sport Singapore.

Pihak SportSG sebenarnya menjemput atlet paralimpik, Nur 'Aini Mohamad Yasli untuk membuat kejutan dan beri semangat kepada atlet berusia 27 tahun itu.

Ini lebih-lebih lagi untuknya yang akan membuat penampilan sulung dalam Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.

Nur 'Aini sebelum ini mencatat sejarah menjadi atlet angkat berat wanita pertama dari Singapura yang menyertai temasya Sukan Para ASEAN dan Sukan Paralimpik pada 2020 di Tokyo.
"Secara jujur saya terperanjat sebab saya tidak sangka. Saya hairan kenapa saya harus tunggu lama di sini dan kenapa jumlah 'set' saya semakin bertambah,” kata Syukur.

Menurutnya juga, beliau sudah lama tidak berjumpa dengan atlet negara itu dan kali terakhir beliau bertemu dengannya adalah ketika sesi latihan dahulu.

FOKUS KEPADA PEMULIHAN FIZIKAL, PERSIAPAN MENTAL

Mohamed Syukur akan bertanding dalam Sukan Para ASEAN 2025 dalam acara angkat berat atau 'powerlifting'.

Mengulas tentang persiapannya menuju temasya sukan itu, Syukur berkata tumpuan utamanya adalah untuk pemulihan dan bersedia dari segi mental.

"Secara mental, saya berfikir untuk berikan yang terbaik mampu dan pastikan saya pulih secara fizikal kerana ada kecederaan. Jaga makan, tidur dan latihan saya. Memang tidak kira penat juga tetap kena turun (latihan) juga," kongsi Syukur.

Sebagai sebahagian daripada proses pemulihan, beliau turut mengawal pemakanan serta meningkatkan pengambilan protein bagi membantu tubuhnya pulih dengan lebih pantas dan berkesan.

Syukur akur kecederaan itu menjejas rutin latihannya namun menegaskan bahawa beliau tidak sesekali patah semangat.

"Kecederaan saya menjejaskan latihan saya, saya tidak boleh melakukan latihan biasa saya sebab tidak boleh angkat seberat dahulu.

"Kadang-kadang rasa macam 'eh berat ini, aku angkat dulu senang saja', sekarang lebih sukar meski buat satu set sahaja tangan saya sudah menggigil," kata Syukur.

Dalam pada itu, Syukur menzahirkan kegembiraannya atas kunjungan mengejut tersebut yang menurutnya menjadi satu suntikan semangat penting menjelang penampilan sulungnya di Sukan Para ASEAN.

"Kunjungan ini banyak membantu saya kerana beliau sudah menyertai banyak pertandingan sebelum ini dan untuk beliau datang ke sini dan memberi saya motivasi, berbual, memberi kata-kata semangat banyak membantu terutamanya kerana ini penampilan sulung saya," kongsi Syukur.

BIMBINGAN ANTARA GENERASI PENTING UNTUK ATLET PARA

Nur ’Aini, yang pernah mewakili Singapura di pentas Paralimpik, berkata beliau gembira apabila mendengar berita kelayakan Syukur ke temasya sukan itu.

Beliau mahu memberikan kata-kata perangsang dan motivasi kepada Syukur sebelum beliau berangkat ke Thailand.

Nur 'Aini turut berharap Syukur dapat menimba pengalaman bermakna di temasya itu memandangkan beliau sendiri pernah merasai perasaan yang sama ketika mewakili Singapura pada Sukan Para ASEAN 2020.

Beliau turut mengenang kembali perjalanan awalnya sebagai atlet para 'powerlifting', apabila beliau banyak bergantung pada sokongan atlet 'senior'.

"Sewaktu saya masih melakukan sukan kompetitif para 'powerlifting', saya menghormati atlet senior seperti Nur Syahidah Alim,Theresa Goh, Yip Pin Xiu dan saya sering mendapatkan nasihat daripada mereka kerana saya tidak ada rakan sepasukan perempuan semasa saya berlatih," kongsi Nur Aini.

Beliau yakin proses bimbingan antara generasi seperti itu mampu membantu atlet muda seperti Syukur menangani tekanan pertandingan dan memupuk keyakinan mereka.

"Pada pendapat saya dengan cara 'mentorship' sebegini seperti memberi dorongan daripada atlet senior untuk atlet-atlet generasi baharu, akan membantu atlet-atlet seperti Syukor supaya beliau kekal bersemangat dan juga tidak berapa gerun apabila ingin bertanding.

"Kerana saya percaya bahawa apa yang beliau rasa sekarang, perasaan yang bercampur aduk, saya pasti pesaingnya juga merasakan perkara yang sama juga," kata Nur Aini.

Beliau turut berpendapat bahawa bimbingan antara generasi merupakan kunci pembangunan sukan paralimpik di Singapura.

Kunjungan mengejut Nur ’Aini itu diaturkan oleh Sport Singapore (SportSG) sebagai sebahagian daripada usaha menyuntik semangat atlet negara menjelang Sukan Para ASEAN 2025.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita