Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Sukan Para ASEAN 2020 dibatalkan angkara COVID-19

Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasmi membatalkan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina pada Oktober berikutan pandemik COVID-19 dan akan memberi tumpuan kepada penganjuran edisi 2021 di Vietnam.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan Para ASEAN 2020 dibatalkan angkara COVID-19
Diterbitkan : 22 Jun 2020 07:33AM Dikemas Kini : 22 Jun 2020 07:35AM

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) secara rasmi membatalkan temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina pada Oktober berikutan pandemik COVID-19 dan akan memberi tumpuan kepada penganjuran edisi 2021 di Vietnam.

Keputusan itu dicapai selepas APSF mengadakan mesyuarat Lembaga Penganjur menerusi persidangan video pada Jumaat lalu dan dipengerusikan presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Filipina, Michael Barredo dan disertai kesemua 10 presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan yang mewakili negaara-negara anggota ASEAN yang lain.

"Majlis Penganjur menyokong pembatalan itu selepas menerima surat rasmi yang mengesahkan mengenai perkara itu daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC) bertarikh 8 Jun, 2020," kata presiden APSF Mejar Jeneral Osoth Bhavilai dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam (21 Jun).

Katanya lagi, surat yang ditandatangani setiausaha Lembaga Suruhanjaya Sukan Filipina, IV Julia C Llanto, yang meluluskan secara rasmi pembatalan edisi ke-10 temasya sukan untuk atlit kelainan upaya rantau ini bagi melindungi dan menjaga keselamatan semua atlit dan jurulatih dari dalam dan luar negara, termasuk tenaga kerja, peserta dan tetamu, di samping membantu pemerintah Filipina membendung penyebaran COVID-19.

Bhavilai berkata, Lembaga berkenaan turut mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Filipina dan jawatankuasa penganjur (PHILAPGOC) atas segala usaha untuk menganjurkan temasya sukan berkenaan, termasuk penyediaan sekretariat, dana, lokasi pertandingan, logistik, tenaga kerja dan keperluan teknikal.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama sekarang adalah untuk memastikan kelancaran Sukan Para ASEAN ke-11 di Hanoi, Vietnam pada Disember 2021 dengan melaksanakan persiapan dan penyelarasan awal.

Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN untuk kali kedua selepas menjadi tuan rumah edisi kedua temasya sukan berkenaan 18 tahun lalu pada 2003, dengan hanya lima acara dipertandingkan ketika itu.

Bhavilai, yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan Thailand, berkata Lembaga Penganjur APSF akan mengadakan mesyuarat awal pada Disember ini untuk berbincang dan menyelaraskan penganjuran edisi 2021 bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan