Skip to main content

Sukan

Sukan Komanwel 2026: Shanti Pereira cipta sejarah mara ke peringkat akhir 200 meter

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Singapura pertama layak ke peringkat akhir acara pecut individu di Sukan Komanwel 2026.

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan Komanwel 2026: Shanti Pereira cipta sejarah mara ke peringkat akhir 200 meter

Shanti Pereira beraksi dalam perlumbaan separuh akhir acara 200 meter wanita di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow. (Gambar: Team Singapore/Lim Weixiang)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 08:47AM
GLASGOW: Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Singapura pertama layak ke peringkat akhir acara pecut individu di Sukan Komanwel 2026.

Bersaing di Stadium Scotstoun pada Khamis (30 Jul), Shanti mencatat masa terbaik musim ini, 22.81 saat, untuk menduduki tempat ketiga dalam acara lari pecut separuh akhir beliau dan menduduki tangga kelapan secara keseluruhannya, sekali gus mengesahkan tempat ke peringkat akhir acara 200 meter.

Peringkat akhir itu dijadual berlangsung pada pagi Sabtu (1 Ogos) waktu Singapura.

"Ini satu lagi acara lari pecut, satu lagi peluang untuk beraksi di stadium ini yang mempunyai trek dan suasana yang sangat baik."

"Saya teruja dan tidak sabar untuk beraksi sekali lagi," kata Shanti.

Rekod nasional Shanti bagi acara 200 meter ialah 22.57 saat, yang dicatatakannya di Kejohanan Olahraga Dunia pada 2023. Beliau juga merupakan juara bertahan Sukan Asia bagi acara tersebut.

Sehari sebelum itu, Shanti mencatat masa 23.00 saat, yang ketika itu merupakan catatan terbaik musim ini, untuk mara ke separuh akhir.

Beliau turut layak ke separuh akhir acara 100 meter selepas mencatat masa 11.24 saat, hanya 0.04 saat di belakang rekod nasionalnya, iaitu 11.20 saat, yang dicipta semasa Kejohanan Olahraga Asia 2023.

Pada Sukan Komanwel 2022, Shanti memperbaharui rekod nasional bagi acara 100 meter dan 200 meter, selain mara ke separuh akhir bagi kedua-dua acara tersebut.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita Singapura pertama memenangi gelaran berganda acara pecut di Sukan SEA 2023.

Baru-baru ini, Shanti mempertahankan gelaran acara 100 meter di Sukan SEA 2025 di Thailand sebelum menjuarai acara 200 meter beberapa hari kemudian, sekali gus meraih gelaran berganda acara pecut buat dua temasya berturut-turut.
Sumber : CNA/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita