Sukan Komanwel 2026: Ratu pecut SG Shanti Pereira mara ke separuh akhir 200m, catat masa terbaik musim
Ratu pecut Singapura Shanti Pereira beraksi semasa saringan 200m wanita di Sukan Komanwel Glasgow pada 29 Julai 2026. (Gambar: SpexSG/Andy Chua)
Di Stadium Scotstoun, Shanti mencatat masa terbaik musim ini pada 23.00 saat, untuk menduduki tempat kedua dalam saringannya di belakang pelari Jamaica, Lavanya Williams.
Beliau muncul peserta ketiga terpantas daripada keseluruhan enam saringan.
Seramai 17 pelari terpantas daripada saringan pada Rabu akan menyertai lapan atlet dengan kedudukan tertinggi, yang menerima laluan automatik ke separuh akhir. Perlumbaan separuh akhir akan berlangsung pada pagi Jumaat waktu Singapura.
Rekod negara Shanti bagi acara 200 meter ialah 22.57 saat, yang dicatat semasa Kejohanan Dunia 2023. Beliau juga merupakan juara bertahan Sukan Asia bagi acara tersebut.
Pada Selasa (28 Jul), Shanti gagal mara ke pusingan akhir acara 100 meter selepas menamatkan perlumbaan separuh akhir di tempat kelima.
Atlet berusia 29 tahun itu mencatat masa 11.40 saat di balapan yang dibasahi hujan, sekali gus menduduki tempat ke-14 daripada keseluruhan 24 pelari.
Shanti layak ke separuh akhir 100 meter selepas mencatat masa 11.24 saat dalam saringannya, hanya 0.04 saat di belakang rekod negara 11.20 saat yang dicatatnya semasa Kejohanan Olahraga Asia 2023.
Di Sukan Komanwel 2022, Shanti memecahkan rekod negara bagi acara 100 meter dan 200 meter, selain mara ke separuh akhir bagi kedua-dua acara.
Beliau turut mencipta sejarah sebagai wanita pertama Singapura yang memenangi gelaran berganda acara pecut di Sukan SEA 2023.
Baru-baru ini, Shanti merangkul pingat emas acara 100 meter di temasya dwitahunan itu di Thailand dengan mencatat 11.36 saat, sebelum menjuarai acara 200 meter beberapa hari kemudian bagi gelaran berganda acara pecut buat dua kali berturut-turut.
Sokong Team Singapore di Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung dari 24 Julai hingga 2 Ogos. Saksikan semua aksi secara langsung atau 'on-demand' di mewatch. Ikuti Mediacorp Sports di YouTube, TikTok, Instagram dan Facebook untuk perkembangan serta kandungan terkini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.