Sukan Komanwel 2026: Ratu pecut SG Shanti Pereira gagal mara ke peringkat akhir 100 meter
Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, beraksi di peringkat separuh akhir acara 100 meter wanita di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow. (Gambar: Sport Excellence Singapore/Andy Chua)
Atlet berusia 29 tahun itu mencatatkan masa 11.40 saat, sekali gus menduduki tangga ke-14 secara keseluruhan dalam kalangan 24 peserta.
Shanti layak ke separuh akhir selepas mencatatkan masa 11.24 saat di peringkat saringan, hanya 0.04 saat di belakang rekod nasional 11.20 saat yang dicatatkannya semasa Kejohanan Olahraga Asia 2023.
Pelari pecut Australia, Torrie Lewis, muncul peserta terpantas di peringkat separuh akhir dengan catatan 11.00 saat.
Dalam perlumbaan peringkat akhir, atlet New Zealand Zoe Hobbs memenangi pingat emas dengan larian 10.93 saat, diikuti Amy Hunt dari England yang meraih pingat perak setelah mencatatkan 10.98 saat, manakala Torrie Lewis membawa pulang pingat gangsa setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 10.99 saat.
Semasa Sukan Komanwel sebelum ini di England, Shanti mencipta rekod nasional baharu bagi acara 100 meter dan 200 meter.
Baru-baru ini, beliau turut memenangi pingat emas acara 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA Thailand, sekali gus mempertahankan gelaran berganda yang dimenanginya pada edisi 2023.
Shanti akan kembali beraksi dalam acara 200 meter wanita pada Rabu (29 Jul), iaitu acara yang menyaksikannya bergelar juara Sukan Asia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.