Skip to main content

Sukan

Sukan Komanwel 2026: Pasukan boling padang SG sudah bersedia harungi cabaran pertama gelanggang tertutup

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan Komanwel 2026: Pasukan boling padang SG sudah bersedia harungi cabaran pertama gelanggang tertutup

Pemain boling padang SG, Serena Tiong, akan beraksi dalam acara perseorangan wanita di Sukan Komanwel 2026. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 22 Jul 2026 09:21PM Dikemas Kini : 22 Jul 2026 11:51PM
SINGAPURA: Pasukan boling padang SG sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi cabaran baharu di Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland apabila acara itu buat pertama kalinya akan berlangsung di gelanggang tertutup.

Peralihan daripada padang rumput kepada gelanggang karpet tertutup mendorong pasukan empat anggota negara untuk menyesuaikan latihan menjelang temasya yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos.

Presiden Bowls Singapore, Rodger Kimpton, berkata keadaan gelanggang tertutup amat berbeza daripada padang gelanggang di Singapura.

Menurut beliau, pasukan negara telah menjalani latihan di sebuah kemudahan tertutup di Kuala Lumpur bersama atlet dari beberapa negara lain bagi membiasakan diri dengan permukaan gelanggang tersebut.

Pemain perseorangan wanita, Serena Tiong, berkata kelajuan permukaan gelanggang tertutup berbeza daripada gelanggang luar.

"Perbezaan utama ialah kelajuan permukaan. Ia lebih perlahan dan memerlukan pemain menyesuaikan diri," katanya.

Sukan Komanwel kembali berlangsung di Glasgow selepas 12 tahun, dengan sebanyak 215 pingat emas dipertandingkan dalam 10 jenis sukan.
Related article image
Cheo Ai Lin bersama rakan sepasukannya, Janice Tan, akan mewakili SG dalam acara beregu wanita boling padang di Sukan Komanwel 2026. (Gambar: CNA)
TUMPUAN KEPADA GLASGOW

Bagi pasukan boling padang SG, temasya kali ini merupakan penampilan sulung mereka di salah satu kejohanan terbesar sukan tersebut.
Related article image
(Dari kiri) Pemain boling padang Cheo Ai Lin dan Serena Tiong bersama jurulatih Bernard Foo di Kallang Lawn Bowl pada 11 Julai 2026. (Gambar: CNA)
Pasukan itu juga berharap dapat mengubah tanggapan bahawa boling padang hanya sesuai untuk golongan warga emas.

"Ia bukan sekadar menggolekkan bola. Sukan ini memerlukan strategi dan juga ketahanan fizikal untuk bermain dalam cuaca panas atau hujan," kata Cik Tiong.

Encik Kimpton pula berkata usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap sukan itu amat penting memandangkan pembangunan padang boling padang di Singapura terhad akibat kekurangan tanah.

Menurut beliau, sukan tersebut kini diperkenalkan kepada pelajar menerusi sekolah serta program pengenalan yang dikendalikan kelab-kelab tempatan menggunakan bola yang lebih ringan dan karpet mudah alih.

Pasukan itu berharap lebih ramai peserta akan beralih kepada versi penuh sukan tersebut di padang rumput pada masa hadapan.

Cik Tiong berkata sebuah gelanggang berbumbung juga dapat membantu menarik lebih ramai penyertaan kerana latihan dan pertandingan boleh dijalankan tanpa mengira keadaan cuaca.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita