Skip to main content

Sukan

Sukan EPL: Man Utd seri 2-2 dengan Everton hasil gol saat akhir Maitland-Niles

Ainsley Maitland-Niles menjaringkan gol penyamaan yang menakjubkan dalam penampilan sulungnya ketika Everton mengikat Manchester United 2-2 dalam aksi Liga Perdana England (EPL) di Stadium Hill Dickinson pada Ahad (6 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan EPL: Man Utd seri 2-2 dengan Everton hasil gol saat akhir Maitland-Niles

Ainsley Maitland-Niles meraikan gol penyamaan Everton bersama Harrison Armstrong dalam perlawanan menentang Manchester United di Stadium Hill Dickinson pada 6 September 2026. (Gambar: Action Images menerusi REUTERS/Jason Cairnduff)

Diterbitkan : 06 Sep 2026 11:48PM
  • Everton dan Manchester United seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana England di Stadium Hill Dickinson pada 6 September.
  • Ainsley Maitland-Niles menjaringkan gol penyamaan minit akhir dalam penampilan sulungnya untuk Everton, mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan itu.
  • United dua kali mendahului melalui jaringan Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko, namun Everton bangkit menerusi Tyrique George dan Maitland-Niles.
  • Everton kini di tangga kelapan dengan lima mata, manakala United di tangga ke-11 dengan empat mata selepas tiga perlawanan.
Dijana oleh AI
LIVERPOOL: Ainsley Maitland-Niles menjaringkan gol penyamaan yang menakjubkan dalam penampilan sulungnya ketika Everton mengikat Manchester United 2-2 dalam aksi Liga Perdana England (EPL) di Stadium Hill Dickinson pada Ahad (6 Sep).

Gol itu hadir menerusi sepakan terakhir perlawanan apabila pemain gantian Everton itu melepaskan rembatan deras dari jarak sekitar 27 meter untuk memastikan Everton mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

United sebelum itu dilihat hampir membawa pulang tiga mata selepas Benjamin Sesko menanduk masuk hantaran lintang Luke Shaw pada minit ke-87 untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan 2-1.

Namun, Maitland-Niles menyamakan kedudukan pada saat-saat akhir untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

United kini mengumpulkan empat mata daripada tiga perlawanan pembukaan dan berada di tangga ke-11, manakala Everton menduduki tangga kelapan dengan lima mata.

UNITED DUA KALI LEPASKAN KELEBIHAN

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, United hanya memerlukan seminit selepas permainan bersambung untuk membuka tirai jaringan.

Bryan Mbeumo memotong masuk dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti ke penjuru jauh pintu gawang.

Everton bagaimanapun terus memberikan tekanan dan Tyrique George menyamakan kedudukan pada minit ke-82 menerusi rembatan kencang yang mengatasi penjaga gawang United Senne Lammens di penjuru gol.

Lima minit kemudian, Sesko kembali meletakkan United di hadapan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Shaw.

Kelebihan itu bagaimanapun tidak bertahan sehingga wisel penamat apabila Maitland-Niles menyamakan kedudukan kepada 2-2.

United turut berpeluang pada babak pertama apabila percubaan Bruno Fernandes terkena palang gol.

Matheus Cunha pula melepaskan rembatan tinggi meskipun berada dalam kedudukan baik, manakala James Tarkowski melakukan terjahan pada saat akhir untuk menggagalkan satu lagi percubaannya.

Everton turut mencipta beberapa peluang berbahaya, dengan Thierno Barry gagal menyempurnakan tandukan bebas daripada hantaran Merlin Rohl pada babak pertama.

Jack Grealish dimasukkan pada minit ke-66 untuk memulakan tempoh pinjaman keduanya di Merseyside dan membantu menghidupkan serangan Everton sebelum tuan rumah bangkit pada penghujung perlawanan.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita