Skip to main content

Sukan

Sukan Asia: Perenang SG Letitia Sim pecah rekod negara; China terus kuasai sukan renang

Anggaran Waktu Membaca:
HANGZHOU: Perenang negara Letitia Sim memecahkan rekod negara dalam acara gaya kuak dada 50 meter wanita di Sukan Asia pada Ahad (24 Sep). Ini sedang pasukan renang tuan rumah China berjaya membolot pingat emas bagi kesemua acara yang disertainya pada hari pertama pertandingan di kolam renang tersebut.

Di arena akuatik Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, rakyat Singapura itu mencatat masa 31.15 saat, iaitu 0.01 saat lebih pantas daripada rekod peribadinya sebelum ini.

Beliau menduduki tempat ketujuh dengan perenang China Tang Qianting merangkul pingat emas.

"Rasanya okay. Ia tidak terasa menakjubkan seperti yang saya mahukan, tetapi saya gembira dengan renangan (saya) secara keseluruhan," kata Sim. "Saya merasakan bahawa (ia mempersiapkan saya) dengan baik sekali untuk acara 100m (kuak dada), jadi saya berasa teruja untuknya."

"Ia memberangsangkan untuk melihat rekod negara dicatat Letitia, meskipun ia 0.01 (lebih pantas daripada rekod peribadinya). Kami mencatatnya dalam persekitaran yang sangat sukar dan sengit," tambah ketua jurulatih negara Gary Tan.

Pasukan renang China menjadi tumpuan ramai pada Ahad, setelah para perenang negara tersebut memecah empat rekod Sukan dan dua rekod Asia pada malam tersebut, dengan pungutan tujuh pingat emas secara keseluruhannya.

Gan Ching Hwee hampir meraih kedudukan tiga terunggul bagi Singapura, dengan catatan masa 16.24.67. Beliau bagaimanapun menduduki tempat keempat dalam acara 1500 meter wanita, di belakang perenang China Li Bingjie dan Gao Weizhong serta perenang Jepun Yukimi Moriyama.

Masa yang dicatat perenang China Li iaitu 15:51.18 merupakan rekod baharu Sukan tersebut.

Dalam acara gaya kupu-kupu 200 meter wanita, pemegang rekod negara Singapura Quah Jing Wen meraih tempat kelima dengan catatan masa 2:10.13.

Rakan sepasukannya Jonathan Tan pula menduduki tangga keenam dalam acara gaya bebas 100 meter lelaki, dengan masa 48.94 saat yang dicatat.

Tan memenangi pingat emas dalam acara tersebut di Sukan SEA ke-32 di Kemboja pada awal tahun ini, dengan catatan masa 48.80 saat.

Dalam acara berganti-ganti gaya bebas 4x100m wanita, perenang Quah Jing Wen, Quah Ting Wen, Nur Marina Chan dan Amanda Lim meraih kedudukan keempat dengan masa gabungan 3:44.16. China menguasai perlumbaan tersebut dengan meraih pingat emas. Pingat perak dimenangi oleh pasukan dari Jepun dan pingat gangsa pula diraih pasukan Hong Kong.

Tirai Sukan temasya tersebut dibuka secara rasmi oleh Presiden China Xi Jinping pada Sabtu malam, setelah tertangguh selama setahun disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda.

Dalam edisi sebelumnya pada 2018, pasukan renang Singapura memenangi enam pingat, termasuk dua pingat emas.

Kontinjen Team Singapore secara keseluruhannya meraih tempat keempat dengan pungutan empat emas, empat perak dan 14 gangsa.

Anda boleh ikuti liputan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di 6 saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita