Sukan Asia: Pemain tenis meja S'pura mara ke pusingan suku akhir
Para pemain tenis meja Singapura Feng Tianwei, Yu Mengyu dan Gao Ning melayakkan diri bagi 16 pemain terbaik dalam acara perseorangan di Sukan Asia 2018.
JAKARTA: Para pemain tenis meja Singapura Feng Tianwei, Yu Mengyu dan Gao Ning melayakkan diri bagi 16 pemain terbaik dalam acara perseorangan di Sukan Asia 2018.
Tiga pemain itu masing-masing menang mudah dalam pertandingan mereka dan kini berpeluang untuk memungut pingat pertama Singapura bagi acara sukan tenis meja dalam Sukan Asia kali ini.
Gao, 35 tahun, mengalahkan pemain Qatar, Mohammed Abdulhussein 4-0. Beliau menang dalam 'straight set', 11-7, 11-4, 11-9 dan 11-6 dalam tempoh sekitar 30 minit.
Beliau akan menentang pemain China, Lin Gaoyua dalam pusingan suku akhir hari ini pada jam 2.00 petang (waktu Singapura).
Dalam pada itu, Yu menumpaskan pemain Malaysia 4-1 di Expo Antarabangsa Jakarta. Yu menang 11-4, 11-2, 11-4 dan 11-2.
Yu Meng Yu bersama jurulatihnya di Sukan Asia 2018. (Gambar-gambar: Amir Yusuf)
Yu akan bertemu Doo Hoi Kem dari Hong Kong dalam perlawanan suku akhir pada jam 1.00 petang (waktu Singapura) nanti.
Aisha Iqbal Ansari dari Pakistan kalah teruk di tangan Feng, yang menduduki tangga ke-11 di dunia dengan mata, 5-11, 2-11, 2-11 dan 5-11.
Bercakap kepada media tentang kemenangannya, Feng berkata: "Hari ini lawan saya tidak begitu kuat. Jadi persembahan saya agak baik. Pertandingan berakhir agak cepat.
Feng Tianwei menang mudah ke atas lawannya dari Pakistan dalam perlawanan suku akhir.
"Saya rasa lebih penting bagi saya untuk membuat persiapan bagi pertandingan esok. Esok saya akan bersaing dengan seseorang yang pernah mengalahkan saya. Jadi peluangnya 50-50. Saya akan memberikan yang terbaik," tambah Feng.
Feng akan bertemu Jeon Jihee dari Korea Selatan sebentar nanti pada jam 11.00 pagi (waktu Singapura). Feng kalah di tangan Jeon dalam pusingan suku akhir pasukan wanita pada Isnin lalu (27 Ogos), apabila Singapura disingkirkan Korea Selatan 1-3.
Mengulas tentang persiapannya, Feng berkata: "Saya rasa, mungkin, saya akan lebih siap. Masanya padat bagi acara tenis meja beregu, jadi persiapan kami tidak begitu baik... Itu kali pertama saya dikalahkannya, saya menang dalam semua perlawanan bersamanya sebelum ini. Jadi saya tidak boleh melihatnya sebagai lawan yang sama... jurang kami semakin kecil."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.