Skip to main content

Sukan

SUKAN ASIA 2026: Temasya ‘kucar-kacir’ jejas harapan Jepun jadi tuan rumah Olimpik

Jepun secara tradisinya dilihat sebagai tuan rumah yang boleh dipercayai bagi acara sukan utama, namun masalah penganjuran yang membelenggu Sukan Asia mencalarkan imej tersebut dan menimbulkan persoalan berhubung bidaan negara itu untuk menjadi tuan rumah acara sukan pada masa hadapan, menurut para pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN ASIA 2026: Temasya ‘kucar-kacir’ jejas harapan Jepun jadi tuan rumah Olimpik

Para atlet berehat di atas kapal pesiaran Costa Serena, yang menjadi tempat penginapan para peserta dan anggota pasukan Sukan Asia 2026, ketika berlabuh di Port Messe Nagoya, Nagoya, pada 25 September 2026. (Gambar fail: AFP/Mohd Rasfan)

Diterbitkan : 04 Oct 2026 02:56PM
Asian Games 2026: ‘Chaotic’ event hinders Japan's hopes of hosting the Olympics
  • The Aichi-Nagoya 2026 Asian Games drew criticism of Japan after transport and accommodation problems, a shortage of beds, delays at the airport, and confusion over songs and flags.
  • Ryu Seung-min gave a very poor assessment, while Hirokazu Arai said Japan’s reputation as a trusted organiser could be affected and complicate future Olympic bids.
  • Organisers faced an increase of about 2,000 participants compared with expectations and, to save costs, replaced the athletes’ village with cruise ships, hotels and temporary wooden units.
  • Seiko Hashimoto and the Nagoya mayor acknowledged the problems and said they wanted to review the mistakes, as the experience of the Tokyo Olympics and plans for Sapporo continue to affect public support.
Dijana oleh AI
NAGOYA: Jepun secara tradisinya dilihat sebagai tuan rumah yang boleh dipercayai bagi acara sukan utama, namun masalah penganjuran yang membelenggu Sukan Asia mencalarkan imej tersebut dan menimbulkan persoalan berhubung bidaan negara itu untuk menjadi tuan rumah acara sukan pada masa hadapan, menurut para pakar.

Sukan Asia Aichi-Nagoya menyaksikan pelbagai masalah, daripada atlet yang dibawa ke lokasi pertandingan yang salah hingga lagu kebangsaan Korea Utara yang dimainkan untuk pasukan hoki Korea Selatan.

Jumlah katil juga tidak mencukupi bagi menampung lebih 17,000 atlet dan pegawai, jumlah yang lebih besar berbanding Sukan Olimpik.

Beberapa negara turut mengadu bahawa mereka terkandas sehingga enam jam di lapangan terbang sebaik tiba.

Pasukan-pasukan yang bertanding tidak berselindung dalam mengkritik penganjur tempatan.

Presiden Jawatankuasa Sukan dan Olimpik Korea, Ryu Seung-min, berkata: "Jika saya perlu memberikan mereka gred, saya akan beri F."

Presiden Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC), Seiko Hashimoto, mengakui "terdapat banyak masalah", namun berkata negara tersebut mahu terus menjadi tuan rumah bagi lebih banyak acara antarabangsa.

"KRITIKAN PEDAS"

Hirokazu Arai, seorang profesor yang mengkhusus dalam bidang psikologi sukan, memberitahu AFP bahawa Jepun mungkin mengambil masa untuk memulihkan imejnya selepas Sukan Asia 2026.

"Jika Jepun membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik sekali lagi, kepercayaan terhadap Jepun mungkin sudah merosot dan negara itu mungkin menghadapi kesukaran untuk memenangi bidaan," kata beliau.

"Dan di Jepun sendiri, orang ramai mungkin berpendapat bahawa jika perkara seperti ini akan berlaku, kita tidak memerlukan Sukan Olimpik."

Ramai di Jepun mempersoalkan manfaat menganjurkan acara sukan utama sedang negara tersebut masih berdepan kesan daripada Sukan Olimpik Tokyo, yang dicemari skandal rasuah dan ditangguhkan akibat pandemik.

Kos yang melambung, rasuah dan COVID-19 semuanya menjejaskan pandangan masyarakat terhadap temasya tersebut, yang sebahagian besarnya berlangsung tanpa penonton pada 2021, setahun lewat daripada jadual asal.

Namun, Jepun turut menerima pujian daripada sesetengah pihak kerana berjaya menganjurkan temasya itu dalam keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Negara itu kemudian menggugurkan rancangan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk di bandar Sapporo di utara Jepun kerana kurang mendapat sokongan orang ramai.

Cik Hashimoto, yang juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo, berkata bidaan Sapporo boleh dihidupkan semula.

Beliau berkata Sukan Asia 2026 sudah "mengukuhkan semula kepercayaan saya terhadap nilai menganjurkan acara sukan antarabangsa di negara kita".

"Kami turut menerima kritikan pedas kerana cabaran yang kami hadapi – saya sedar sepenuhnya mengenai perkara tersebut," kata beliau.

"Semua ini merupakan sebahagian daripada temasya tersebut, tetapi kami perlu menganalisis isu-isu berkenaan supaya dapat menanganinya apabila peluang seterusnya muncul pada masa hadapan."

"SEPERTI PERMAINAN KERUSI MUZIK"

Penganjur Sukan Asia 2026 berdepan cabaran selepas jumlah atlet dan pegawai yang menyertai temasya itu meningkat sekitar 2,000 orang berbanding jangkaan awal.

Tidak seperti temasya sebelum ini, tiada perkampungan atlet tradisional disediakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjimatkan kos.

Para peserta sebaliknya ditempatkan di sebuah kapal pesiaran, bilik hotel dan unit penginapan kayu sementara.

Sesetengah pasukan mengadu mengenai unit kayu tersebut, dengan mengatakan bahawa ruangnya terlalu sempit dan katil yang disediakan terlalu pendek.

Selepas persiapan menjelang temasya dibelenggu masalah, penganjur berharap perhatian akan beralih kepada acara sukan sebaik sahaja pertandingan bermula.

Namun, masalah terus berlaku, termasuk kesukaran pengangkutan dan penginapan serta beberapa lagi kekeliruan melibatkan lagu kebangsaan dan bendera.

"Ia seperti permainan kerusi muzik," kata seorang pegawai Thailand, sambil menyifatkan penganjuran temasya tersebut sebagai "kucar-kacir".

Datuk Bandar Nagoya memohon maaf kepada para atlet atas "kesulitan" yang dihadapi, sambil berkata bahawa penganjur akan "menilai dengan serius kesilapan pengendalian yang berlaku".

Jumlah penonton bagi sesetengah acara juga rendah, bermula dengan ribuan tempat duduk kosong semasa upacara pembukaan.

Penganjur menyebutkan cuaca buruk sebagai puncanya.

Encik Arai percaya Sukan Asia 2026 menjejaskan reputasi antarabangsa Jepun sebagai penganjur yang boleh dipercayai.

"Temasya sebelum ini diadakan di China, dan saya pasti ada atlet yang datang ke sini dengan jangkaan bahawa Jepun akan menganjurkan acara yang lebih baik berbanding China," kata beliau.

"Namun, saya rasa kita tidak boleh mengatakan bahawa itulah yang berlaku."

Encik Arai berkata kemarahan yang semakin reda sejak Sukan Olimpik Tokyo mungkin kembali memuncak.

"Pemimpin tertinggi dunia sukan Jepun sedang berusaha untuk membawa Sukan Olimpik kembali ke negara ini," kata beliau.

"Dari sudut pandangan mereka, mereka mungkin merasakan kritikan sudah mula reda, tetapi keadaan ini boleh menyebabkan kritikan tersebut kembali meningkat."
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita