Skip to main content

Sukan

SUKAN ASIA 2026: Tedd Chan pecah rekod nasional 50m kuak lentang, mara ke peringkat akhir

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN ASIA 2026: Tedd Chan pecah rekod nasional 50m kuak lentang, mara ke peringkat akhir

Tedd Chan meraikan kejayaan selepas mencatat rekod nasional dalam acara saringan 50m kuak lentang lelaki di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Pusat Akuatik Tokyo pada 21 September 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

Diterbitkan : 21 Sep 2026 12:25PM
  • Tedd Chan, perenang Singapura berusia 16 tahun, mencatat 24.97 saat di Pusat Akuatik Tokyo pada Isnin, memecahkan rekod nasional 50 meter kuak lentang lelaki dan layak ke final.
  • Catatan itu memperbaiki masa peribadinya 25.52 saat serta mengatasi rekod 25.13 saat milik Quah Zheng Wen sejak Piala Dunia FINA 2015 di Mosko.
  • Chan berkata latihan teknik pecut bersama jurulatih dan pasukan prestasi membantu peningkatannya, manakala Mikkel Lee menasihatinya supaya tidak terlalu memikirkan tekanan final.
  • Perenang Singapura turut menyerlah apabila Gan Ching Hwee memecahkan rekod nasional, manakala Lee, Jonathan Tan dan Victoria Lim layak ke final acara masing-masing.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Beberapa saat selepas menyentuh dinding di Pusat Akuatik Tokyo pada Isnin (21 Sep), wajah perenang Singapura berusia 16 tahun dan peserta kali pertama Sukan Asia, Tedd Chan, menguntum senyuman lebar.

Bukan sahaja beliau berhasil memperbaiki masa peribadi terbaik, 25.52 saat, dengan ketara, Chan turut memecahkan rekod nasional yang sudah bertahan lebih sedekad, sekali gus melayakkan diri ke peringkat akhir acara 50 meter kuak lentang lelaki.

"Saya tidak pernah melihat catatan (tersebut) sebelum ini," kata Chan mengenai masa 24.97 saat yang dicatatkannya. "Saya nampak 24 saat dan saya seperti, 'itu bukan nama saya, tak mungkin itu nama saya'. Kemudian saya melihat semula dan memang itu nama saya."

Chan melayakkan diri ke peringkat akhir dengan masa keseluruhan keempat terpantas di belakang Xu Jiayu dari China, Yoon Jihwan dari Korea Selatan dan Wang Zicheng dari China, dan akan bertanding sekali lagi pada Isnin (21 Sep).

"Beberapa bulan kebelakangan ini agak sukar," katanya. "Saya banyak berlatih teknik pecut, terutama bersama jurulatih dan pasukan prestasi. Selama sekitar setahun, catatan saya sekitar 25 saat, justeru, peningkatan daripada 25.5 saat kepada 24 saat ini merupakan rekod peribadi terbaik yang besar. Saya sangat berbangga dengan pencapaian ini."
Related article image
Tedd Chan semasa pusingan saringan acara 50 meter kuak lentang lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Pusat Akuatik Tokyo, 21 September 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
Rekod nasional sebelum ini ialah 25.13 saat, yang dicatatkan oleh Quah Zheng Wen semasa Piala Dunia FINA 2015 di Mosko.

"Senior saya, Mikkel (Lee), memberitahu saya supaya jangan terlalu memikirkannya. Jadi saya akan buat begitu malam ini."

"TIDAK KEHILANGAN APA-APA"

Para perenang Singapura kini sudah mencatatkan tiga rekod nasional sepanjang tempoh kurang daripada dua hari bertanding.

Pada Ahad, Gan Ching Hwee meraih pingat perak bagi acara 1,500 meter wanita sambil memperbaharui rekod nasionalnya sendiri. Masa yang dicatatkan Gan, 8:29.56 untuk 800 meter pertama perlumbaan itu, turut memecahkan rekod nasional acara 800 meter gaya bebas wanita.

Dalam saringan 50 meter gaya bebas lelaki pada Isnin, Lee (22.30 saat) dan Jonathan Tan (22.43 saat) melayakkan diri ke peringkat akhir dengan masing-masing menduduki tempat kelapan dan ke-10. Kim Youngbeom dari Korea Selatan mencipta rekod baharu Sukan Asia, iaitu 21.71 saat, untuk mendahului saringan.

"Persaingan malam ini akan berlangsung pantas. Memang bagus untuk melihat dua perenang Singapura di peringkat akhir," kata Lee.

Apabila ditanya mengenai Chan, Lee berkata perenang muda itu "tidak kehilangan apa-apa" dan para perenang Singapura juga berada dalam kedudukan sama, dengan "sesuatu untuk diperoleh dan tidak kehilangan apa-apa".

"Tiada gunanya bertanding dalam ketakutan. Berusahalah sebaik mungkin, kita akan memperbaiki kedudukan. Itulah yang penting," tambahnya.

Peserta kali pertama Sukan Asia, Victoria Lim, juga akan beraksi di peringkat akhir selepas menduduki tempat kesembilan dalam acara 200 meter gaya bebas dengan catatan peribadi baharu, 2:03.72.
Sumber : CNA/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita