Skip to main content

Sukan

Sukan Asia 2026: Perenang 13 tahun Yu Zidi mara ke peringkat akhir 200m kupu-kupu dengan catatan terpantas

Perenang berusia 13 tahun dari China, Yu Zidi, mempamerkan aksi cemerlang apabila acara renang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula pada Ahad (20 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Sukan Asia 2026: Perenang 13 tahun Yu Zidi mara ke peringkat akhir 200m kupu-kupu dengan catatan terpantas

Perenang China Yu Zidi beraksi dalam saringan acara 200 meter gaya kupu-kupu wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Pusat Akuatik Tokyo pada 20 September 2026. (Gambar: AFP/Yuichi Yamazaki)

Diterbitkan : 20 Sep 2026 12:26PM
TOKYO: Perenang berusia 13 tahun dari China, Yu Zidi, mempamerkan aksi cemerlang apabila acara renang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bermula pada Ahad (20 Sep).

Yu, yang hanya akan berusia 14 tahun pada Oktober, mara ke peringkat akhir acara 200 meter gaya kupu-kupu wanita selepas mencatatkan masa terpantas dalam saringan di Pusat Akuatik Tokyo.

Beliau mencatatkan masa dua minit 7.97 saat, 2.7 saat lebih pantas berbanding rakan senegaranya Chang Mohan, yang mencatatkan masa kedua terpantas.

Yu mencipta sejarah tahun lalu apabila menjadi perenang termuda memenangi pingat dalam sejarah Kejohanan Renang Dunia.

Ketika berusia 12 tahun, beliau memenangi gangsa sebagai sebahagian daripada pasukan China dalam acara berganti-ganti 4x200 meter gaya bebas wanita.

Beliau turut menduduki tempat keempat dalam tiga acara individu pada kejohanan dunia itu.

Reputasi Yu terus meningkat tahun ini, termasuk selepas menewaskan juara Olimpik Amerika Regan Smith pada Mac.

PAN ZHANLE TURUT CATAT MASA TERPANTAS

Sementara itu, juara Olimpik Pan Zhanle turut mencatatkan masa terpantas dalam saringan 100 meter gaya bebas lelaki.

Perenang berusia 22 tahun itu mencatatkan masa 48.07 saat untuk mara ke pusingan seterusnya, di hadapan Hwang Sun-woo dari Korea Selatan.

Pan memenangi emas dan mencipta rekod dunia dalam acara tersebut pada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya rasa saya mengawal kelajuan dalam 50 meter pertama dan memberikan sepenuh tenaga dalam 50 meter kedua," kata Pan.

"Saya fikir saya akan beraksi lebih baik malam ini."

Pan mahu bangkit daripada prestasi mengecewakan pada Kejohanan Renang Dunia di Singapura tahun lalu apabila gagal mara ke final acara 100 meter dan 200 meter gaya bebas.

Dalam acara 200 meter rampaian individu lelaki pula, Tomoyuki Matsushita dari Jepun mencatatkan masa terpantas satu minit 58.56 saat.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita