Skip to main content

Sukan

SUKAN ASIA 2026: Penginapan dijamin bagi lebih 17,000 atlet, pegawai meski penyertaan melonjak

Penginapan sudah disediakan bagi semua lebih 17,000 atlet dan pegawai yang berdaftar untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, meskipun jumlah penyertaan melebihi anggaran awal.

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN ASIA 2026: Penginapan dijamin bagi lebih 17,000 atlet, pegawai meski penyertaan melonjak

Papan tanda Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dipamerkan di Nagoya, Jepun, pada 21 Mei 2026. (Gambar fail: Reuters/Issei Kato)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 10:05PM Dikemas Kini : 12 Sep 2026 08:25PM
NAGOYA: Penginapan sudah disediakan bagi semua lebih 17,000 atlet dan pegawai yang berdaftar untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, meskipun jumlah penyertaan melebihi anggaran awal.

Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Majlis Olimpik Asia (OCA) memberikan jaminan itu pada Jumaat (28 Ogos), dua hari selepas pihak penganjur menyatakan mereka sedang membincangkan cara untuk mengurangkan jumlah peserta.

"Semua lebih 17,000 atlet dan pegawai yang berdaftar untuk Sukan Asia sebelum tarikh tutup pendaftaran nama pada Julai sudah disediakan penginapan yang sesuai bagi temasya tersebut," menurut kenyataan bersama itu.

"Kecuali dalam keadaan luar biasa, tiada pendaftaran lanjut sudah atau akan dibenarkan."

OCA minggu lalu menyatakan jumlah penyertaan meningkat kepada sekitar 17,000 orang, merangkumi 11,000 atlet dan 6,000 pegawai.

Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung di Nagoya dan wilayah Aichi dari 19 September hingga 4 Oktober.

JUMLAH PENYERTAAN ATASI ANGGARAN

Peningkatan jumlah peserta mencetuskan kebimbangan mengenai penginapan, dengan temasya kali ini tidak menggunakan perkampungan atlet seperti lazimnya.

Sebaliknya, atlet dan pegawai akan ditempatkan di hotel, kemudahan penginapan kayu sementara di Nagoya serta di atas kapal persiaran Costa Serena.

Awal minggu ini, Ketua Jawatankuasa Penganjur Hideaki Ohmura berkata peruntukan temasya itu dibuat berdasarkan 15,000 peserta, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian bandar tuan rumah.

"Jika jumlah itu melebihi 15,000, tidak banyak yang boleh kami lakukan. Kami secara fizikal tiada ruang penginapan yang mencukupi," kata Encik Ohmura pada Selasa (25 Ogos).

Encik Ohmura, yang juga Gabenor Wilayah Aichi, berkata penambahan acara sukan seperti padel dan teqball turut meningkatkan keperluan penganjur.

Persekutuan sukan Asia dan Jepun bagi kedua-dua acara itu membantu dalam penganjuran serta pembiayaan pertandingan tersebut.

Meskipun jumlah penyertaan meningkat, OCA dan pihak penganjur memberi jaminan persiapan bagi Sukan Asia 2026 kekal berjalan mengikut rancangan.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita