Skip to main content

Sukan

SUKAN ASIA 2026: Atlet SG Darren Yap raih pingat gangsa taekwondo maya

Anggaran Waktu Membaca:
  SUKAN ASIA 2026: Atlet SG Darren Yap raih pingat gangsa taekwondo maya

Darren Yap dari Singapura beraksi dalam acara taekwondo maya di Sukan Asia ke-20. (Gambar: SpexSG/Andy Chua)

Diterbitkan : 02 Oct 2026 12:13PM Dikemas Kini : 02 Oct 2026 12:26PM
  • Darren Yap, 22 tahun, menjadi atlet taekwondo Singapura pertama memenangi pingat Sukan Asia dan menambah gangsa bersama taekwondo maya campuran di Nagoya.
  • Di Gimnasium Toyohashi pada Jumaat, 2 Okt, beliau menewaskan lawan dari Kyrgyzstan dan Iran sebelum kalah kepada Chau Ngoc Tuyet Sang dari Vietnam di separuh akhir.
  • Taekwondo maya, pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia, dibangunkan World Taekwondo dan Refract Technologies, selepas diperkenalkan di Singapura pada 2023.
  • Sukan ini menggunakan VR, pengesan pergerakan dan avatar digital tanpa sentuhan fizikal; Yap juga meraih gangsa bersama poomsae lelaki pada Khamis.
Dijana oleh AI

NAGOYA: Sehari selepas menjadi atlet taekwondo Singapura pertama memenangi pingat Sukan Asia, Darren Yap, 22 tahun, sekali lagi mencipta sejarah dengan meraih pingat gangsa bersama dalam acara taekwondo maya campuran.

Dalam pertandingan di Gimnasium Toyohashi pada Jumaat (2 Okt), Yap mara hingga ke separuh akhir sebelum tewas 0-2 kepada Chau Ngoc Tuyet Sang dari Vietnam. Atlet yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima pingat gangsa.

Sebelum itu, Yap menewaskan Alisher Asymbek Uulu dari Kyrgyzstan 2-0 di pusingan pembukaan, sebelum mengatasi Amirsina Bakhtiari dari Iran 2-0 di peringkat suku akhir.

Ini merupakan kali pertama taekwondo maya dipertandingkan di Sukan Asia. Sukan itu pernah diperkenalkan di Minggu E-Sukan Olimpik di Singapura pada 2023, sebelum kejohanan dunia pertama diadakan di Singapura setahun kemudian.

Taekwondo maya dibangunkan bersama oleh World Taekwondo dan syarikat teknologi Singapura, Refract Technologies. Ia menggabungkan pergerakan dan teknik taekwondo dengan teknologi realiti maya (VR) serta pengesan PERgerakan.

Atlet memakai set kepala VR dan alat pengesan pergerakan pada bahagian tulang belakang, paha dan tulang kering.

Pergerakan mereka kemudian dipaparkan menerusi avatar digital, membolehkan atlet menendang dan menyerang lawan dalam arena maya tanpa sentuhan fizikal. Setiap serangan yang berjaya akan mengurangkan tahap “kesihatan” maya pihak lawan.

Pada Khamis, Yap turut meraih pingat gangsa bersama dalam acara poomsae perseorangan lelaki selepas menduduki tempat keempat.

Beliau berada di belakang Yun Kyu-sung dari Korea Selatan yang meraih 9.3800 mata, Navin Pinthasute dari Thailand dengan 9.2800 mata dan Derick Yape dari Filipina dengan 9.0900 mata.

Dalam acara itu, peserta di tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima pingat gangsa.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita