SUKAN ASIA 2026: Atlet muda sukan layar SG raih 2 pingat perak dalam penampilan sulung
Jania Ang bersama ibu bapanya selepas final acara ILCA 6 wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada 2 Okt 2026. (Gambar: CNA/Wallace Woon)
NAGOYA: Beberapa minggu sebelum Sukan Asia 2026, atlet sukan layar Singapura Jania Ang sendiri tidak pasti sama ada beliau mampu beraksi dalam acara ILCA 6 wanita, apatah lagi memenangi pingat.
Beliau mengalami konkusi (concussion) dan tendon pergelangan tangan terkoyak akibat kemalangan ketika berbasikal, menyebabkan beliau terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia di Ireland.
Pada beberapa hari pertama selepas kemalangan itu, penyertaannya di Sukan Asia 2026 juga masih belum pasti.
“Saya memutuskan untuk tidak bertanding di Kejohanan Dunia dan hanya memberi tumpuan kepada pemulihan untuk Sukan Asia 2026,” katanya.
“Kali pertama saya kembali berlatih selepas dua minggu adalah di sini, dan sehingga ketika itu, masih banyak ketidakpastian.”
Namun, dengan bantuan pasukan perubatannya, Ang berjaya pulih dan berada dalam keadaan “hampir 100 peratus” menjelang penampilan pertamanya di Sukan Asia 2026.
Pada Jumaat (2 Okt) di Kaiyoh Yacht Harbour, Gamagori, Ang melengkapkan kebangkitannya dengan meraih pingat perak Sukan Asia 2026.
Rakan senegara Nigel Tan dan Sean Kum turut meraih pingat perak dalam acara 29er lelaki.
Ang mencatat keputusan hebat dalam dua perlumbaan terakhirnya untuk melonjak ke tempat kedua keseluruhan.
Atlet sukan layar Singapura itu, yang memenangi pingat emas dalam acara sama di Sukan SEA tahun lalu, menamatkan persaingan di belakang Sophia Montgomery dari Thailand. Nethra Kumaran dari India meraih pingat gangsa.
“Saya memang sangat gembira kerana berjaya melakukan yang terbaik dalam perlumbaan terakhir. Persaingannya sangat sengit,” kata Ang.
Beliau berkata sepanjang regata itu, beliau tidak terlalu memberi perhatian kepada kedudukan dan hanya mendengar nasihat jurulatihnya untuk memberitahu perkara yang perlu diketahuinya mengenai pungutan mata.
DARIPADA BUKAN PILIHAN UTAMA KE PODIUM
Dalam acara 29er lelaki, Nigel dan Sean mencatat dua keputusan tempat kedua dan dua tempat ketiga dalam empat perlumbaan terakhir untuk memastikan mereka menamatkan persaingan di tempat kedua keseluruhan.
Louis Polson dan Ethan Kiu dari Hong Kong memenangi pingat emas.
Nigel berkata mereka menyertai pertandingan itu sebagai pasangan yang bukan antara pilihan utama untuk memenangi pingat.
“Kami pernah berlumba dengan ramai atlet sukan layar hebat sebelum ini dan kami tidak pernah mengalahkan mereka,” katanya.
“Lantaran itu, matlamat kami dalam regata ini adalah untuk mengurangkan kesilapan dan cuba merampas tempat ketiga.”
Pasangan itu turut berterima kasih kepada jurulatih mereka, Priscilla Low, bekas atlet sukan layar yang pernah memenangi pingat perak acara 29er wanita bersama kakaknya Cecilia pada Sukan Asia 2014.
Nigel berkata beliau berasa tertekan, terutama pada beberapa hari pertama apabila mereka menduduki tempat terakhir.
Menurutnya, jurulatih mereka menenangkan pasangan itu dan memberi tumpuan kepada perkara yang mampu dikawal, tanpa terlalu memikirkan apa yang mungkin berlaku.
Dalam acara ILCA 7 lelaki pula, juara bertahan dari Singapura, Ryan Lo menamatkan persaingan di tempat kelima.
Ha Jeemin dari Korea Selatan memenangi pingat emas, Nicholas Halliday dari Hong Kong meraih pingat perak, manakala Khairulnizam Afendy dari Malaysia membawa pulang pingat gangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.