Skip to main content

Sukan

Sukan Asia 2026: 6 pingat emas dipertandingkan dalam acara sepak takraw

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) tidak akan tergesa-gesa menerima cadangan tuan rumah Sukan Asia 2026, Jepun, yang mahu acara double menggantikan acara regu lelaki pada temasya sukan empat tahun sekali itu.

Presiden ASTAF Abdul Halim Kader berkata pihaknya akan meneliti cadangan tersebut, yang dihantar Presiden Persekutuan Sepaktakraw Jepun Shunichi Takeshita menerusi sepucuk surat pada 15 Januari lepas bersama ahli gabungan, termasuk Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Takraw Association of Thailand (TAT).

“Apa pun keputusan yang bakal diambil kelak berkaitan cadangan daripada Persekutuan Sepaktakraw Jepun tersebut, sememangnya acara regu lelaki merupakan acara tradisi yang telah dipertandingkan pada edisi-edisi Sukan Asia sebelum ini, termasuk Sukan Asia Hangzhou, China, 2022.

“ASTAF akan terus mencari solusi terbaik untuk menangani apa jua isu yang ditimbulkan oleh mana-mana ahli gabungan di meja rundingan demi keharmonian dan kecemerlangan sukan sepak takraw,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (26 Feb).

Dalam pada itu, beliau berkata ASTAF telah mencadangkan agar setiap negara boleh menyenaraikan sehingga 15 orang pemain lelaki dan wanita, manakala tuan rumah dibenarkan mempertaruhkan seramai 18 pemain lelaki dan wanita.

Katanya setiap negara hanya dibenarkan menyertai dua acara sahaja daripada tiga acara yang dipertandingkan, manakala Jepun boleh menyertai ketiga-tiga acara.

Terdahulu, Encik Abdul Halim berkata Jawatankuasa Induk Pengelola Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC) telah meluluskan enam pingat emas untuk Sukan Asia 2026, yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober 2026.

Beliau berkata kelulusan enam pingat emas tersebut telah dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 25 Disember lepas oleh Setiausaha Agung AINAGOC, Murate Satoshi, kepadanya.

Katanya tiga acara yang akan dipertandingkan bagi kategori lelaki ialah regu berpasukan, kuadran dan regu, manakala tiga pingat emas untuk kategori wanita akan ditawarkan menerusi acara regu berpasukan, kuadran dan double.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita