Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

StarHub lanjutkan promosi pakej EPL buat kali kedua hingga 30 Jun

Anggaran Waktu Membaca:
StarHub lanjutkan promosi pakej EPL buat kali kedua hingga 30 Jun

(Gambar: Oli Scarff/AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2022 12:47PM Dikemas Kini : 20 Jun 2022 12:47PM

SINGAPURA: StarHub mengumumkan pada Isnin (20 Jun) bahawa ia akan melanjutkan tempoh promosi bagi pakej penyiaran Liga Perdana England (EPL) buat kali kedua kepada semua pelanggannya sehingga hujung bulan ini. 

Ini selepas syarikat telko itu menyaksikan "sambutan yang memberangsangkan" bagi khidmat 'over-the-top' Premier+, yang bermula pada harga S$19.99 setiap bulan. 

"StarHub melanjutkan promosi bagi Premier+ kepada semua pelanggannya sehingga 30 Jun 2022," dedah syarikat telko tersebut dalam kenyataan medianya.

"Pelanjutan ini juga memberi pelanggan masa yang mencukupi untuk menamatkan kontrak khidmat TV berbayar dengan penyedia khidmat sedia ada mereka, sekali gus mengelakkan caj penamatan awal." 

Para peminat dan penyokong bola sepak boleh mendaftar bagi khidmat Premier+ di laman web StarHub atau di mana-mana kedai telko itu. 

Berdasarkan pengumuman awalnya pada 8 Jun, StarHub menyatakan bahawa harga tempahan awal akan ditawarkan kepada 25,000 pelanggan pertama yang mendaftar antara 9 dengan 30 Jun. 

Namun, pelancaran Premier+ pada keesokan harinya menyaksikan ramai orang beratur panjang, dengan sesetengah pelanggan berkata bahawa mereka tidak dapat menyelesaikan proses pembayaran sekalipun setelah lama menunggu. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp ketika itu, StarHub menyatakan bahawa harga promosi itu akan ditawarkan kepada semua pelanggan sehingga 19 Jun menyusuli "sambutan luar biasa" itu. 

Harga bulanan S$19.99 ditawarkan bersama-sama dengan pelan telefon pasca bayar, jalur lebar atau TV StarHub bagi pelanggan baru dan sedia ada StarHub. 

Harga biasa bagi pakej tersebut adalah S$24.99 sebulan. 

Sekiranya anda melanggani pakej Premier+ tanpa sebarang pelan StarHub yang lain, ia akan ditawarkan pada harga S$34.99 sebulan sepanjang tempoh promosi, berbanding harga biasanya pada S$39.99 sebulan. 

StarHub memegang hak penyiaran Singapura bagi salah satu acara sukar yang paling popular. StarHub memegang hak itu bagi tempoh selama enam tahun akan datang, bermula dengan musim 2022-2023 pada Ogos nanti. 

Pesaing StarHub, Singtel sebelum ini memegang hak penyiaran Singapura bagi EPL selama 12 tahun berturut-turut. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa