Skip to main content

Sukan

S'pura menang pingat gangsa di Kejohanan Dunia Hoki Ais Diviyen IV

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura menang pingat gangsa di Kejohanan Dunia Hoki Ais Diviyen IV

(Gambar: Joanna Tan/Singapore Ice Hockey Association)

SINGAPURA: Pasukan hoki ais lelaki negara mengakhiri kempen sulung Kejohanan Hoki Ais Dunia (IIHF) di Bishkek, Kyrgyzstan dengan mengatasi negara jiran Malaysia 8-2  pada perlawanan terakhirnya dalam Divisyen IV pada Selasa (8 Mac). Dengan itu, membawa pulang pingat gangsa dalam Divisyen IV.

Pasukan negara mara ke peringkat akhir selepas membelasah Kuwait yang berada di tempat lebih tinggi pada acara 3 Mac hingga 8 Mac itu. 

Perjalanan ke Bishkek, Kyrgyzstan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut mengambil masa 30 jam, namun ia bermula di Manila lebih dua tahun lalu. 

Singapura layak bagi Kejohanan Dunia itu setelah merangkul pingat perak di Sukan SEA 2019 dan dijadual beraksi dalam perlawanan itu pada Mac 2021, yang dibatalkan gara-gara pandemik COVID-19. 

Kejohanan dunia hoki ais dibahagikan kepada lima peringkat, dengan pasukan-pasukan hebat seperti Kanada, Finland dan Amerika Syarikat bersaing di divisyen tertinggi, dan negara-negara yang mempunyai ranking lebih rendah bersaing dalam Divisyen I hingga Divisyen IV. 

Singapura yang merupakan peserta baru dalam kedudukan antarabangsa IIHF, kini menduduki tempat ke-55 daripada 55 pasukan di peringkat antarabangsa, dan bersaing dengan Iran, Kuwait, Malaysia serta negara tuan rumah Kyrgystan di Arena Bishkek. 

Dalam perlawanan di Gorodskoy Katok, Singapura melakukan jaringan awal menerusi Bryan Shao Herng Lee pada minit ketiga sebelum Mohammad Hariz menyamakan kedudukan untuk Malaysia pada minit ke-13.

Bagaimanapun, Singapura kembali mendahului menerusi Jiayu Ryan Tan, empat minit sebelum tempoh pertama tamat.

Pada babak kedua, Ethan Redden menjaringkan gol sulungnya pada perlawanan itu pada minit ke-31 sebelum Muhammad Fareez Afdlin menjaringkan gol kedua Malaysia dua minit kemudian.

Singapura kemudiannya terus mendahului pada minit ke-35 menerusi Joshua Chan bagi memastikan mereka menamatkan bahagian kedua dengan kelebihan dua gol ke atas Malaysia.

Pemain Singapura yang semakin bersemangat meneruskan pesta gol mereka pada tempoh ketiga atau terakhir menerusi Christopher Wong pada minit ke-45 sementara Joshua mendapatkan satu lagi gol pada minit ke-50.
Ethan meneruskan persembahan cemerlangnya dengan menyumbat gol keduanya pada minit ke-53 dan melengkapkan hatrik pada minit ke-59 untuk melengkapkan hari yang indah buat Singapura.

Kyrgyzstan menang emas selepas menundukkan Kuwait 14-0,  sekali gus dinaikkan ke Divisyen III Kumpulan B .

Iran pula membawa pulang pingat perak.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita