S'pura bida jadi tuan rumah Kejohanan Olahraga Sedunia 2025
Singapura membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Olahraga Sedunia pada 2025, umum Sport Singapore (SportSG) pada Khamis (17 Mac).
SINGAPURA: Singapura membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Olahraga Sedunia pada 2025, umum Sport Singapore (SportSG) pada Khamis (17 Mac).
Sekiranya berjaya, ia akan menjadi kali pertama kejohanan tersebut diadakan di Asia Tenggara. Sebelum ini, temasya sukan itu pernah dianjurkan di London, Beijing dan Moscow.
Menurut akhbar Japan Times, Jepun dan Kenya juga membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah acara olahraga terbesar itu pada 2025 nanti.
Tahun itu juga menandakan tahun ke-60 kemerdekaan Singapura dan menurut SportSG, "kejohanan sukan perdana ini akan menjadi temasya tambahan yang sesuai bagi sambutan negara".
Singapura mendapat penghormatan menjadi tuan rumah pertama temasya Sukan Olimpik Belia pada 2010 serta Sukan Asia Tenggara pada 2015. Kini, ia menganjurkan Formula 1 Grand Prix Singapura.
SportSG membuat bidaan itu bersama Encik Ong Beng Seng, yang bertanggungjawab membawa F1 ke Singapura.
Keputusan bidaan itu dijangka diumumkan pada Julai semasa Kejohanan Olahraga Sedunia di Eugene, Oregon, yang ditunda tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
Pertama kali dianjurkan pada 1983, Kejohanan Olahraga Sedunia diadakan pada setiap empat tahun sehingga 1991.
Dari 1993, temasya itu diadakan sekali setiap dua tahun dengan kali terakhir acara tersebut dianjurkan adalah pada 2019 di Doha.
Kejohanan Olahraga Sedunia 2023 akan diadakan di Budapest, Hungary.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.