Skip to main content

Sukan

Skuad SG bagi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 diumumkan

Anggaran Waktu Membaca:
Skuad SG bagi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 diumumkan

(Gambar: Pertubuhan Bola Sepak Singapura (FAS))

Diterbitkan : 20 Dec 2022 11:03PM
SINGAPURA: Ketua jurulatih pasukan bola sepak lelaki kebangsaan Takayuki Nishigaya sudah menamakan skuadnya bagi Kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Piala Mitsubishi Electric 2022 akan datang.

Skuad yang terdiri daripada 23 pemain bola sepak itu, melibatkan gabungan pemain utama dan muka baru termasuk lima pemain yang akan menjadi sebahagian daripada skuad Lions dalam kejohanan serantau buat julung-julung kalinya.

Demikian menurut Pertubuhan Bola Sepak Singapura (FAS) dalam satu kenyataan media pada Selasa (20 Dis).

Lima pemain tersebut adalah: Pemain pertahanan Christopher van Huizen, Joshua Pereira dan Ryhan Stewart, dan pemain tengah Shah Shahiran dan Farhan Zulkifli.

Penjaga gawang veteran Hassan Sunny dijangka menyertai Kejohanan AFF dengan skuad Lions untuk rekod kali kesembilan, lapor FAS.

Sementara itu, Ikhsan Fandi dan Adam Swandi tidak akan menyertai kejohanan tersebut disebabkan kecederaan yang dialami. Manakala, Taufik Suparno menarik diri daripada menyertai skuad tersebut atas urusan keluarga.


Singapura ditempatkan dalam Kumpulan B dalam kejohanan tersebut dan bakal menentang pasukan dari Laos, Malaysia, Myanmar dan Vietnam.


Kumpulan A pula terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Menurut FAS, skuad tersebut sudahpun memulakan fasa terakhir persiapan sejak 1 Disember lalu dengan kem latihan selama 12 hari di Chiba, Jepun.

Perlawanan persiapan terakhir merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Maldives pada Sabtu (17 Dis) lalu, yang menyaksikan Singapura menewaskan Maldives 3-1.

Nishigaya, yang mengambil alih sebagai ketua jurulatih pada April lalu, menyuarakan keyakinannya terhadap pasukannya itu.

Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 akan membuka tirainya dengan perlawanan pembukaan peringkat kumpulan pada Selasa (20 Dis) dan akan berlangsung sehingga 16 Januari nanti. Perlawanan akan diadakan di bandar-bandar di seluruh Asia Tenggara, seperti sebelumnya semasa kejohanan 2018. Setiap pasukan bakal berentap dalam empat perlawanan pada peringkat kumpulan - dua di padang sendiri dan dua lagi di negara lawan.

Skuad Lions akan memulakan kempen mereka dengan perlawanan menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar pada 6.00 petang pada Sabtu (24 Dis) nanti.

Mereka kemudiannya akan berangkat ke Vientiane bagi perlawanan menentang Laos pada pukul 6.00 petang waktu tempatan pada 27 Disember sebelum mereka kembali ke Stadium Jalan Besar untuk berdepan dengan Vietnam dalam perlawanan yang kaan berlangsung pada pukul 8.30 malam pada 30 Disember.

Perlawanan keempat dan terakhir peringkat kumpulan bagi skuad Lions merupakan perlawanan yang akan menyaksikan skuad tersebut menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada 8.30 malam pada 3 Januari tahun depan.

Skuad Singapura bagi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022

Penjaga gawang: Hassan Sunny (Lion City Sailors), Syazwan Buhari (Tampines Rovers), Zaiful Nizam (Geylang International)

Pemain pertahanan: Amirul Adli (Lion City Sailors), Christopher van Huizen (Tampines Rovers), Hariss Harun (Lion City Sailors), Irfan Fandi (BG Pathum United), Joshua Pereira (Geylang International), Nazrul Nazari (Hougang United), Ryhan Stewart (Chiangmai FC), Shakir Hamzah (Hougang United)

Pemain tengah: Farhan Zulkifli (Hougang United), Hafiz Nor (Lion City Sailors), Hami Syahin (Lion City Sailors), M Anumanthan (Lion City Sailors), Shahdan Sulaiman (Lion City Sailors), Shah Shahiran (Young Lions), Song Ui-young (Lion City Sailors), Zulfahmi Arifin (Hougang United)

Penyerang: Amy Recha (Hougang United), Faris Ramli (Lion City Sailors), Ilhan Fandi (Albirex Niigata), Shawal Anuar (Hougang United)

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita